Sekolah agama JAIS perkukuh aktiviti sukan, usrah bantu pelajar urus emosi

23 Nov 2026, 2:00 AM
Sekolah agama JAIS perkukuh aktiviti sukan, usrah bantu pelajar urus emosi
Sekolah agama JAIS perkukuh aktiviti sukan, usrah bantu pelajar urus emosi
Sekolah agama JAIS perkukuh aktiviti sukan, usrah bantu pelajar urus emosi

SHAH ALAM, 23 NOV: Penglibatan pelajar sekolah agama di Selangor dalam aktiviti sukan akan diperluas, manakala pendekatan usrah turut diteliti sebagai ruang berkongsi masalah dan mendapatkan sokongan emosi.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata usaha memperkukuh aktiviti sukan itu akan dilaksanakan menerusi pengenalan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) di sekolah bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mulai tahun depan.

“PAJSK ini akan mengikut standard Kementerian Pendidikan Malaysia, namun pelaksanaannya disesuaikan dengan kemudahan dan kemampuan setiap sekolah.

“Kita melihat sukan sebagai satu medan untuk pelajar melegakan tekanan. Sekolah tidak semestinya menawarkan banyak jenis sukan, sebaliknya boleh memilih aktiviti yang bersesuaian dengan ruang dan kemahiran guru.

“Tidak semestinya setiap sekolah perlu menyediakan lima jenis sukan, tetapi pengenalan PAJSK akan memberi lebih keutamaan kepada penyediaan kemudahan sukan dan penglibatan pelajar,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas mengenai usrah, Mohammad Fahmi berkata pendekatan sesi itu akan ditambah baik supaya turut menjadi ruang pelajar berkongsi masalah dan mendapatkan sokongan emosi, selain perbincangan keagamaan.

“Boleh tak usrah dijadikan ruang untuk mereka meluahkan perasaan, contohnya berkongsi masalah yang dihadapi sepanjang minggu?. Guru pembimbing boleh mendengar luahan pelajar supaya pihak sekolah lebih memahami tekanan yang mereka alami,” katanya.

Beliau berkata pelajar tahfiz juga memerlukan sokongan sewajarnya kerana perlu mengimbangi tuntutan menghafaz al-Quran dengan pembelajaran akademik.

Justeru katanya, pendekatan pendidikan perlu mengambil kira kemampuan pelajar selain memastikan kesejahteraan emosi mereka tidak terabai.

Beliau berkata perubahan keperluan generasi semasa turut menuntut pihak sekolah menyediakan ruang yang membolehkan pelajar didengari, selain mendapat bimbingan bersesuaian.

"Pentadbiran negeri ini ini amat prihatin tentang kebajikan, kesihatan mental dan tekanan yang dialami pelajar sekolah agama," katanya.




Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.