SHAH ALAM, 13 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga jam 4 petang hari ini.
MetMalaysia memaklumkan cuaca buruk itu turut dijangka melanda beberapa kawasan di Perak dan Kelantan.
Di Perak, kawasan terlibat ialah Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang, Muallim, Manjung, Perak Tengah, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar.
Sementara itu, di Kelantan, amaran berkenaan membabitkan Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.
"Amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh sejam.
"Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya berwaspada, mengelakkan aktiviti luar serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini yang dikeluarkan MetMalaysia.





