SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri sedang merangka pelaksanaan Tenaga Kerja Perak atau Silver Workforce bagi membuka ruang kepada warga emas yang masih sihat, berkemahiran dan berkeinginan untuk terus bekerja.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata usaha itu mengambil kira perubahan demografi termasuk jangka hayat penduduk Selangor yang kini mencatat purata tertinggi di Malaysia iaitu 78 tahun.
"Hal ini menyebabkan warga emas, khasnya dalam lingkungan umur 60 hingga 70 tahun, yang masih kuat, sihat, berkemahiran dan berkeinginan untuk bekerja diberikan ruang untuk terus menyumbang kepada ekonomi keluarga dan negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.
Menurut Anfaal, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Kajian Keperluan Warga Emas dan Perbincangan Meja Bulat Iltizam Emas Selangor bagi mengkaji pelaksanaan Tenaga Kerja Perak.
Bagaimanapun, katanya, ekosistem yang sesuai perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum inisiatif berkenaan dapat dilaksanakan.
"Sebelum pelaksanaan Tenaga Kerja Perak ini, ekosistemnya perlu dibina terlebih dahulu seperti undang-undang dan garis panduan, perlindungan insurans, kesediaan skim latihan untuk reskilling dan upskilling warga emas serta advokasi," ujarnya.
Anfaal berkata pendekatan itu penting bagi memastikan peluang pekerjaan kepada warga emas disediakan dalam persekitaran yang sesuai dan mempunyai sistem sokongan diperlukan.
Beliau turut mengambil contoh usaha membuka peluang pekerjaan kepada orang kurang upaya (OKU), yang didahului dengan pembinaan ekosistem termasuk insentif kepada majikan, institusi latihan kemahiran, latihan kepada majikan serta bimbingan pekerjaan.
"Buat masa ini, Kerajaan Negeri Selangor memfokuskan sumber untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan warga emas di Selangor di samping merangka ekosistem untuk menyokong Tenaga Kerja Perak ini," katanya.







