Selangor teliti gabung Worldwide Holdings, KDEBWM perkukuh pengurusan sisa

13 Ogos 2026, 7:00 AM
Selangor teliti gabung Worldwide Holdings, KDEBWM perkukuh pengurusan sisa

SHAH ALAM, 13 OGOS: Selangor sedang meneliti langkah menggabungkan Worldwide Holdings Bhd dan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) bagi memperkukuh pengurusan sisa termasuk aspek kutipan, pelupusan, loji sisa kepada tenaga (WTE) dan operasi tapak pelupusan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beberapa langkah awal sudah dimulakan, selain penilaian terhadap rundingan korporat antara kedua-dua entiti berkenaan.

“Kita sudah memulakan beberapa langkah dan sedang menilai rundingan korporat antara kedua-dua entiti.

“Nilai perniagaan mereka adalah signifikan dan sudah tentu setiap pihak mahu mengekalkan kedudukan masing-masing.

“Operasi Worldwide bukan sahaja di Selangor, malah turut meliputi Johor, manakala penglibatannya dalam projek Bukit Payung selepas memenangi tender Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkukuh keupayaan pengurusan sisa negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab pertanyaan pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 13 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Amirudin menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berhubung perkembangan terkini aplikasi NINE.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri akan mengintegrasikan NINE dan SELangkah menjadi sebuah ‘Super App’ yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan termasuk parkir serta inisiatif Kerajaan Negeri.

Menurutnya, usaha integrasi itu merupakan susulan perbincangan antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang menyelia NINE dengan Selgate Corporation Sdn Bhd selaku pengendali SELangkah.

Bagaimanapun, Amirudin berkata usaha berkenaan memerlukan masa dan Kerajaan Negeri turut mengambil kira keperluan memastikan kos peralihan berada pada tahap terkawal.

Pada Isnin lalu, EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah memaklumkan kepada DNS bahawa perkhidmatan kesihatan digital SELangkah akan diintegrasikan ke dalam aplikasi NINE, sementara SELangkah terus memperluas perkhidmatannya.

NINE dibangunkan pada 2025 dengan kos sekali bayar sebanyak RM1.03 juta yang dibiayai WFP Fintech Holdings Nine Bhd tanpa menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri.

Aplikasi itu dibangunkan sebagai ‘gerbang digital tunggal’ bagi perkhidmatan Kerajaan Negeri dan rakan strategik.

SELangkah pula digunakan sejak 2020 dan berkembang daripada fungsi awal pengesanan COVID-19 kepada pelbagai perkhidmatan termasuk penjagaan kesihatan digital serta penyaluran bantuan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.