KLANG, 19 APRIL: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI merancang menyelaras pelbagai bantuan di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta menerusi aplikasi semua dalam satu dikenali sebagai NINE.
Ketuanya, Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya bersedia membantu agensi berkaitan dalam menyalurkan bantuan lain seperti Baucar Kita Selangor dan program subsidi tambang pengangkutan awam melalui aplikasi yang dibangunkan Yayasan MBI itu.
“Bantuan seperti baucar kita Selangor bukan bawah seliaan Yayasan MBI, tetapi kami juga mempunyai program bantuan bakul makanan yang boleh diselaraskan sekali.
“Kita boleh bekerjasama dengan menggunakan NINE, bagaimana untuk membantu agensi ini memilih penerima yang layak melalui data yang ada dalam aplikasi ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Jambatan Jalan Belimbing, Kapar semalam.
Melalui aplikasi itu, pengguna boleh menguruskan pembayaran parkir, mengakses perkhidmatan majlis perbandaran dan kerajaan tempatan, serta menggunakan kemudahan pengangkutan awam dan pelbagai perkhidmatan lain.

Ahmad Azri menambah pihaknya akan meneliti keseluruhan pengumuman pakej berkenaan, khususnya program Platform Selangor (PLATS) yang berada di bawah kendalian yayasan itu.
“Keutamaan kami adalah membantu usahawan melalui program PLATS sedia ada bagi memastikan mereka terus berdaya tahan dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya lagi.
Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta, khusus bagi mendepani krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pakej fasa pertama yang bermula Jun ini bertujuan mengukuhkan keterjaminan bekalan makanan selain mengawal kadar inflasi daripada meningkat keterlaluan.
Menurut Amirudin, pakej yang menyediakan bantuan bersasar kepada golongan rentan itu menggunakan peruntukan negeri dalam Belanjawan 2026, yang disusun semula mengikut keperluan semasa.










