Dari SUKMA ke skuad kebangsaan, atlet ragbi wanita bukti kemampuan

13 Ogos 2026, 7:00 AM
Dari SUKMA ke skuad kebangsaan, atlet ragbi wanita bukti kemampuan
Dari SUKMA ke skuad kebangsaan, atlet ragbi wanita bukti kemampuan
Dari SUKMA ke skuad kebangsaan, atlet ragbi wanita bukti kemampuan

Nur Izzah Azizan tekad menyertai pemilihan terbuka. Tanpa pengalaman itu bukan alasan untuk tidak mencuba. Minatnya bukan sekadar hobi. Beliau sebenarnya memasang impian untuk menjadi pemain ragbi.

Dengan semangat membugar di jiwa mudanya, langkah itu membawa tuah. Tahun 2018 menjadi detik manis apabila beliau terpilih mewakili Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak.

Minat terhadap ragbi rempuh telah berakar sejak di bangku sekolah lagi, tidak terpadam meski tamat pendidikan menengah. Tambahan pula, kategori wanita pertama kali dipertanding dalam SUKMA edisi ke-19 itu.

“Saya sebenarnya tidak ada langsung pengalaman bermain ragbi rempuh. Masa pergi pemilihan pun saya takut sebab fikir sukan ini ganas.

“Tapi bila sudah cuba, saya rasa seronok dan sedar ragbi rempuh tidak seperti yang saya bayangkan. Dari situlah perjalanan saya bermula,” katanya yang pada awalnya bergiat dalam sukan olahraga khususnya acara 100 meter.

Sepanjang mewakili Selangor, dia berjaya membantu pasukan meraih pingat perak dalam SUKMA 2018 dan mengulangi dalam temasya dwitahunan itu pada 2022.

Walaupun kecewa gagal membawa pulang pingat emas idamannya dalam dua aksi SUKMA itu, prestasi beliau terus meningkat hingga menarik perhatian jurulatih.

Nur Izzah kemudian dipanggil menyertai pasukan kebangsaan kira-kira enam bulan selepas temasya tersebut.

Panggilan berkenaan antara detik paling bermakna buat diri Nur Izzah lantaran beliau sama sekali tidak menyangka untuk berpeluang mewakili negara dalam tempoh singkat.

“Masa sekolah dulu, saya pun tak pernah terfikir boleh main untuk negeri, apatah lagi mewakili Malaysia. Bila dipanggil ke skuad kebangsaan, saya rasa usaha dan latihan yang dibuat selama ini benar-benar berbaloi,” katanya kepada Media Selangor.

Sepanjang mewakili negara di pentas antarabangsa, Nur Izzah meraih gangsa dalam Sukan SEA 2019 di Filipina dan pingat perak Sukan SEA 2025 di Bangkok. Beliau turut membantu Malaysia muncul pasukan keenam terbaik Asia pada 2024 sebagai naib kapten.

Di sebalik kejayaan itu, beliau tidak terlepas dari dilanda kecederaan. Ketika semangatnya membara untuk membawa pingat emas buat Selangor dalam SUKMA 2022, Nur Izzah terpaksa akur akan ketentuan takdir. Beliau mengalami kecederaan, buku lali patah semasa perlawanan akhir.

Saat itu, emosinya benar-benar remuk. Sembilan bulan dia terpaksa duduk di tepi padang melihat rakan sepasukan beraksi, malah Nur Izzah juga terlepas beberapa kejohanan penting bersama negeri dan negara.

“Memang sedih sebab kecederaan itu berlaku ketika perlawanan akhir. Saya terpaksa berehat lama sebelum dapat kembali bermain.

"Tetapi saya anggap itu sebahagian perjalanan seorang atlet.

Alhamdulillah saya berjaya bangkit semula dan kembali bersama Selangor serta skuad kebangsaan,” katanya lagi.

Kini, Nur Izzah menyasar penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2027 sebelum memberi tumpuan kepada pembangunan kerjaya sukan peringkat kelab.

Grafik Farah Azila Mustapha

Pengurusan masa

Kehidupan sebagai atlet bukan semudah yang disangka ramai. Segala-galanya memerlukan pengorbanan terutama masa bersama keluarga tersayang dan rakan-rakan.

Lebih mencabar, beliau perlu memastikan masa sebagai penuntut universiti dan atlet sepenuh masa dibahagi sebaik-baiknya.

Meski Nur Izzah yang kini berusia 27 tahun bertugas sebagai perunding hartanah, rutinnya masih sama seperti berada di menara gading. Masa perlu diurus cermat untuk kerjaya dan latihan bersama pasukan kebangsaan.

“Bila sudah bekerja, cabarannya berbeza. Lepas habis kerja, saya terus pergi latihan. Memang kena pandai urus masa. Tapi saya percaya kalau kita ada disiplin dan minat, semua itu boleh diuruskan,” katanya.

Beliau juga sedar kebanyakan masyarakat hanya melihat keputusan di padang tanpa mengetahui susah payah latihan, air mata pengorbanan dan keperitan cabaran yang tergalas di bahu seseorang atlet saban hari.

Seseorang atlet perlu mengharungi latihan bercorak intensif dan menjaga aspek pemakanan sepanjang waktu di samping mengimbangi pelbagai komitmen lain demi mengecap sebuah kejayaan.

“Bila menang orang akan puji, bila kalah orang akan kritik. Tapi ramai tak nampak kerja keras di sebalik semua itu. Kami berlatih dalam panas dan hujan, ada yang masih belajar, ada juga yang bekerja. Semua itu demi membawa nama negeri dan negara,” katanya.

Namun, Nur Izzah yang masih bergiat aktif bersama Kelab Ragbi Wanita Cobra Venom gembira dengan perkembangan positif ragbi wanita di Malaysia.

Kemunculan ramai pemain muda berbakat hasil temasya besar seperti SUKMA berupaya membantu negara dalam menghadapi saingan peringkat dunia.

Beliau berpendapat golongan muda wanita perlu berani mencuba ragbi rempuh kerana sukan itu bukan sahaja selamat, bahkan berupaya membentuk disiplin, keberanian dan semangat berpasukan yang tinggi.

Gadis lasak itu turut menasihati pemain muda supaya meneruskan perjalanan dalam sukan ragbi selepas tamat SUKMA kerana mereka pelapis penting kepada skuad kebangsaan.

“Saya bangga melihat tahap permainan ragbi wanita sekarang jauh lebih baik berbanding dahulu. Saya harap lebih ramai pemain muda terus bermain selepas SUKMA kerana mereka menjadi masa depan ragbi wanita negara,” katanya lagi.

Grafik Farah Azila Mustapha

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.