ad

Selangor pertahan gelaran juara ragbi MAKSAK, tewaskan Johor 29-0

10 Nov 2025, 5:53 AM
Selangor pertahan gelaran juara ragbi MAKSAK, tewaskan Johor 29-0

SHAH ALAM, 10 NOV: Pasukan Ragbi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Selangor terus unggul apabila menjuarai kejohanan itu buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Johor 29–0 dalam perlawanan akhir semalam.

Kemenangan bergaya itu bukan sahaja mengekalkan rekod cemerlang kontinjen Selangor dalam acara ragbi, malah mengukuhkan reputasi negeri sebagai kuasa besar sukan berpasukan di pentas MAKSAK.

Lebih membanggakan, atlet Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Firdaus Abdul Manan yang berkhidmat di Jabatan Kejuruteraan, turut menyumbang satu mata penting dalam perlawanan akhir berkenaan.

“Sebagai pengerusi acara ragbi MAKSAK Selangor, pihak MPS merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen atas kejayaan gemilang ini.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama berpasukan mampu membawa kecemerlangan bukan sahaja kepada organisasi tetapi juga kepada Selangor,” menurut kenyataan MPS.

MPS turut menegaskan komitmen untuk terus menyokong penglibatan warga kerja dalam aktiviti sukan di peringkat negeri dan kebangsaan, selaras dengan usaha memperkukuh budaya sihat serta semangat berpasukan dalam kalangan penjawat awam.