SHAH ALAM, 5 DIS: Kejohanan MSNS KRS Pra-SUKMA Selangor 2025 melabuhkan tirai dengan pasukan Selangor muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita, sekali gus menunjukkan prestasi meyakinkan menjelang temasya SUKMA akan datang.
Presiden Ragbi Selangor, Lim Yi Wei, berkata kejohanan tersebut menjadi medan penting untuk menilai tahap persediaan pasukan negeri serta prestasi atlet sebelum memasuki fasa latihan seterusnya.
“Secara keseluruhan, kejohanan ini merupakan platform untuk pasukan menilai prestasi pemain dan keberkesanan program persediaan masing-masing. Menjelang SUKMA, kami menjangka prestasi setiap negeri akan terus meningkat.
“Bagi pihak Selangor, kami tidak akan mengambil mudah pencapaian di Kejohanan Pra-SUKMA ini. Usaha akan terus dipertingkatkan untuk membina momentum sehingga temasya SUKMA,” katanya.
Beliau menjelaskan persediaan pasukan masih berada pada peringkat awal, dan sasaran rasmi hanya akan ditetapkan selepas Jun, selepas kedua-dua skuad melengkapkan program latihan yang dirancang.
Dalam kejohanan tersebut, Selangor meraih johan bagi kategori lelaki dan wanita.
Selangor Rugby Union turut merakam penghargaan kepada semua pasukan yang bertanding dan mendoakan perjalanan pulang mereka selamat ke negeri masing-masing.



