Pelajar Tingkatan Dua meninggal dunia ketika latihan ragbi

25 Jun 2026, 1:22 AM
Pelajar Tingkatan Dua meninggal dunia ketika latihan ragbi

SHAH ALAM, 25 JUN: Pelajar lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia selepas rebah ketika mengikuti latihan ragbi di sebuah sekolah menengah di Telok Mas, Melaka semalam.

Kejadian jam 6 petang itu berlaku ketika mangsa sedang mendengar taklimat daripada jurulatih selepas latihan dihentikan seketika untuk berehat.

Datuk saudara mangsa, Yahya Endut, 64, berkata beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa cucu saudaranya itu sebelum bergegas dari Alor Gajah ke Hospital Melaka.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di asrama sekolah itu baharu mengikuti latihan kira-kira 15 minit sebelum berhenti berehat bersama rakan-rakan.

“Bagaimanapun, ketika mangsa sedang duduk, dia tiba-tiba rebah dan mengalami kesukaran bernafas,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, malam tadi, lapor MalaysiaGazette.

Beliau turut memaklumkan mangsa tidak pernah mempunyai sejarah penyakit sebelum ini, sekali gus menyifatkan kejadian itu tidak disangka.

“Dia pun tak pernah ceritakan ada masalah di asrama sekolah sebab itu tak sangka boleh berlaku kejadian sebegini,” tambahnya.

Sementara itu, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata mangsa yang bersekolah di Telok Mas rebah ketika sesi taklimat selepas latihan ragbi sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam perkembangan sama, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas mengesahkan kejadian dan memaklumkan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung insiden berkenaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.