SHAH ALAM, 1 OGOS: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI (Yayasan MBI) menyalurkan tajaan berjumlah RM200,000 bagi membantu persediaan dua pasukan sukan angkat Selangor menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata, tajaan sebanyak RM100,000 setiap satu diberikan kepada Persatuan Memanah Selangor (SELAR) dan Kesatuan Ragbi Selangor (KRS).
Menurutnya, kedua-dua sukan itu dipilih sebagai sukan angkat Selangor bagi menghadapi temasya sukan terbesar negara yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Untuk SUKMA kita ada dua sukan angkat iaitu memanah dan ragbi. Yang ini masing-masing menerima RM100,000 setiap satu dan kita juga bagi sumbangan RM20,000 kepada MBI, 'our parent company' juga kerana mereka melaksanakan majlis perasmian di Dataran Kemerdekaan.
“Ada juga permohonan baharu yang saya belum semak lagi… ada permohonan untuk pakaian dan sebagainya, yang itu saya akan teliti kemudian.
“Kita sangat berharap dua sukan angkat kita, memanah dan ragbi memberi pulangan pingat emas, lebih baik berbanding SUKMA di Kuching dua tahun lepas,” katanya kepada Media Selangor.
SUKMA edisi ke-22 akan mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan yang melibatkan sembilan daerah membabitkan 52 venue.
Para SUKMA pula melibatkan 369 acara daripada 10 sukan merangkumi renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia serta powerlifting.
Temasya sukan terbesar negara itu disertai semua kontinjen negeri selain Brunei Darussalam sah menyertainya sebagai kontinjen jemputan, sekali gus melengkapkan penyertaan 15 kontinjen.
Bagi majlis pembukaan SUKMA 2026, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan mesyuarat telah memuktamadkan ia berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.








