Selaras takwim temasya tempatan, antarabangsa

14 Ogos 2026, 6:00 AM
Selaras takwim temasya tempatan, antarabangsa

SHAH ALAM, 14 OGOS: Pertindihan tarikh temasya sukan tempatan dan kejohanan antarabangsa perlu dielak supaya tidak menjejaskan perkembangan prestasi atlet negara, kata penganalisis sukan.

Dato’ Dr Pekan Ramli menyifatkan masalah itu berpunca akibat kelemahan penyelarasan hingga menjejaskan persiapan, merugikan dana latihan dan memberi tekanan mental kepada atlet.

Beliau berkata Majlis Sukan Negeri (MSN) dan badan induk sukan peringkat kebangsaan harus bertoleransi dan peka terhadap jadual kejohanan peringkat tempatan mahupun dan antarabangsa.

Katanya, MSN wajar dan berhak berasa kecewa apabila atlet mereka tidak dapat beraksi ekoran pertembungan atau pertindihan tarikh kejohanan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Perlu berkompromi sebab ada atlet yang dilatih lama oleh MSN, tiba-tiba apabila terpilih dalam program elit, atlet itu tidak dapat sertai SUKMA. Ini tidak adil kerana MSN keluarkan belanja yang banyak.

“Mereka pada peringkat pusat perlu faham dan ada toleransi. Tidak perlu jadikan isu besar. Mereka perlu peka dengan jadual kejohanan. Sekurang-kurangnya beri atlet sertai SUKMA terlebih dahulu atau ikut kehendak atlet itu sendiri,” katanya kepada Media Selangor.

Jun lalu, Pengarah Teknikal Pengarah Teknikal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), John Beasley kecewa ekoran hanya tiga pelumba dilepaskan MSN untuk Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Dunia di Belgium pada Ogos.

Menurut Beasley, kepentingan negara perlu diutamakan lantaran pelumba telah bekerja keras untuk melayakkan diri ke kejohanan tersebut meski tarikhnya berselisih dengan SUKMA.

Selain itu, Dr Pekan juga memberitahu atlet kebangsaan juga tidak wajar dihalang dari menyertai SUKMA selagi mematuhi syarat kelayakan usia dan peraturan sesebuah pertandingan.

Malah, beliau percaya penyertaan atlet kebangsaan boleh dianggap sebagai penyeri temasya kerana mereka membawa nilai komersial, tarikan penonton serta memeriahkan suasana saingan.

“Perkara ini menjadi isu juga kadang-kadang. Adakah atlet elit layak bertanding di SUKMA? Sedangkan kita harap ia menjadi satu tarikan serta menjadikan pertandingan itu kompetitif.

“Jadi kita tidak boleh halang. Kita perlu lihat kebaikan dan keburukannya. Peraturan itu perlu ada dan dipersetujui semua pemegang taruh, barulah ia boleh difahami,” katanya.

Pada masa ini, atlet yang layak secara merit ke Sukan Olimpik atau pernah memenangi pingat di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tidak layak menyertai SUKMA.

Atlet yang pernah mewakili negara dalam Sukan Komanwel, Sukan Asia atau pemenang pingat Sukan SEA dibenarkan mengambil bahagian dalam SUKMA, tertakluk had kelayakan usia.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.