
SHAH ALAM, 13 OGOS: Penganalisis sukan mencadangkan had usia atlet yang bertanding dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) diturunkan kepada 18 tahun, bukan 21 tahun seperti amalan sekarang.
Dato’ Dr Pekan Ramli menyifatkan had umur 21 tahun terlewat untuk seseorang atlet mengejar pencapaian di pentas dunia berbanding negara maju yang mengasah bakat pada usia lebih awal.
Justeru, beliau mencadangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyemak dasar had kelayakan umur bagi penyertaan atlet jika cadangan penstrukturan temasya itu diteruskan.

“Sekarang had umur 21 tahun, mungkin boleh rendahkan kepada 18 tahun. Ini kerana, untuk menjadi atlet antarabangsa, mereka perlu bermula seawal mungkin.
“Ini yang dibuat di negara maju seperti China. Mereka memulakan latihan sukan sejak atlet tersebut kanak-kanak dan usia 21 tahun itu sudah terlewat,” katanya kepada Media Selangor.
Pada masa ini, had umur penyertaan SUKMA adalah 21 tahun ke bawah kecuali beberapa acara seperti gimnastik yang menetapkan had lebih rendah iaitu 15 tahun.
Dr Pekan juga mencadangkan atlet yang kurang menyerlah selepas SUKMA diberi peluang berbentuk kemudahan pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi, penempatan pekerjaan sektor awam atau kursus kemahiran khas.
Beliau yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) percaya bantuan seumpama itu membantu atlet membina hala tuju kerjaya dalam akademik.
“Peringkat negeri juga perlu mainkan peranan, sediakan platform peluang pekerjaan atau kursus khas latihan jangka masa pendek supaya khidmat mereka tidak diketepi.
“Beri mereka latihan. Mereka juga boleh ubah haluan sebagai jurulatih dengan menyertai kursus untuk memperolehi lesen sebagai jurulatih,” katanya lagi.
Setakat ini, Skim Biasiswa Sukan Persekutuan (BSP) dan Biasiswa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disediakan untuk membantu atlet menyambung pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Seramai 1,191 atlet menerima skim BSP antara 1987 hingga 2023. Skim tersebut diperkenal pada 1986. Biasiswa Menteri KPT yang diperkenal sejak 2024 pula membantu atlet cemerlang ke IPT.








