Seragamkan acara SUKMA, atasi kemudahan demi kejohanan lebih adil

14 Ogos 2026, 1:00 AM
Seragamkan acara SUKMA, atasi kemudahan demi kejohanan lebih adil
Seragamkan acara SUKMA, atasi kemudahan demi kejohanan lebih adil

SHAH ALAM, 13 OGOS: Acara dalam Sukan Malaysia (SUKMA) perlu diseragam apabila temasya itu distruktur semula supaya tidak memberi kelebihan kepada mana-mana negeri yang menjadi tuan rumah.

Penganalisis sukan Dato’ Dr Pekan Ramli memberitahu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu mengambil serius isu keseragaman itu bagi mengelakkan penganjur mengambil kesempatan.

Beliau berpendapat penetapan acara setiap kali penganjuran akan memantapkan temasya dengan hanya memberi dua atau tiga sukan tambahan kepada tuan rumah jika amalan itu diteruskan.

“Akhir-akhir ini, SUKMA banyak sangat isu. Dari segi kekurangan atlet dalam acara tertentu dan acara dipertanding beri kelebihan kepada tuan rumah dan sebagainya.

Penganalisis Sukan Datuk Dr Pekan Ramli

“Kalau boleh kita tetapkan acara SUKMA dan mungkin beri kelonggaran kepada tuan rumah untuk pilih dua atau tiga sahaja acara pilihan supaya persiapan atlet tidak terganggu,” katanya kepada Media Selangor.

Pada tahun lalu, KBS merancang untuk mewujudkan model baharu iaitu penganjuran SUKMA bukan mengikut sistem penggiliran negeri sebaliknya temasya itu dikendalikan Majlis Sukan Negara.

Model itu bertujuan mengelak penganjur mempertanding acara yang memberi kelebihan kepada mereka dalam pungutan pingat. Pelaksanaan itu dijalankan selepas SUKMA 2028 di Kelantan.

Penganjuran SUKMA dicetuskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 1983 ketika beliau menjadi menteri kebudayaan, belia dan sukan. Temasya itu pertama kali diadakan pada 1986 di Kuala Lumpur.

Selain itu, Dr Pekan berkata penganjuran selepas ini lebih baik tertumpu di Kuala Lumpur atau Putrajaya sahaja ekoran masalah penyediaan infrastruktur yang dihadapi negeri penganjur.

Beliau menjelaskan isu kemudahan daif menyebabkan sesetengah acara tidak dapat dipertanding dalam SUKMA sekali gus ia dikhuatiri menjejaskan prestasi atlet dalam penjurusan acara itu.

“Negeri yang diberi tanggungjawab anjur SUKMA ini menghadapi masalah penyediaan infrastruktur dan kos penyelenggaraannya tinggi. Sudah tentu mereka harapkan bantuan kerajaan persekutuan.

“Sesetengah acara SUKMA juga kadang-kadang tiada kemudahan di negeri penganjur. Jadi, acara tersebut tidak dipertanding atau terpaksa dipertanding di negeri lain,” katanya lagi.

Beliau memberi contoh acara trek berbasikal termasuk keirin berkemungkinan tidak diadakan dalam penganjuran SUKMA di Kelantan ekoran ketiadaan kemudahan velodrom di negeri tersebut.

Keirin dianggap antara cabang sukan popular di negara ini yang menyumbang pingat perak sebanyak dua kali dalam Sukan Olimpik selain badminton.

“Kalau mahu ubah SUKMA sebagai dimensi baharu selepas SUKMA di Kelantan, ia perancangan yang bagus. Tetapi pastinya ada kelebihan dan keburukan,” kata Dr Pekan lagi.

Namun, beliau juga berpandangan identiti SUKMA wajar dikekal meski KBS merancang untuk memperkenal model baharu bagi menggantikan temasya dwitahunan itu.

“Tiada masalah untuk kekalkan nama SUKMA. SUKMA masih relevan dan ia ibarat mini Olimpik remaja. Nama SUKMA pun kukuh. Yang penting perlu perkemas dan perkasakan SUKMA,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.