Nilai kekuatan agensi laksana insiatif satu sukan satu PBT

27 Ogos 2026, 3:00 AM
Nilai kekuatan agensi laksana insiatif satu sukan satu PBT

SHAH ALAM, 27 OGOS: Penganalisis sukan berpendapat inisiatif satu sukan satu PBT perlu mengambil kira kekuatan sesebuah PBT sebelum sebarang jenis sukan dipertanggungjawab kepada mereka.

Datuk Dr Pekan Ramli berkata faktor yang perlu dinilai antaranya prasarana sukan, bakat, minat masyarakat selain kedudukan geografi sama ada banda atau luar bandar sesebuah PBT.

Beliau mencadangkan PBT yang mempunyai kemudahan dan berpotensi besar wajar diberi peluang untuk membangunkan dua hingga tiga jenis sukan berbanding hanya satu sukan satu PBT.

“Kalau PBT itu kuat, contohnya MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam), boleh letakkan dua atau tiga sukan yang sesuai dengan kekuatan dan kemudahan yang ada.

“Tidak semua PBT ada kemudahan dan bakat sama. Jadi, kita kena lihat apa kekuatan mereka sebelum menentukan sukan yang sesuai untuk dibangunkan,” katanya kepada Media Selangor.

Stadium Hoki MBPJ dinaik taraf untuk SUKMA Selangor 2026. Foto MBPJ

Dr Pekan yang juga pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga yakin program dalam RS-2 itu berupaya meneruskan legasi pencapaian Selangor dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Beliau memberitahu perancangan awal sedemikian sememangnya perlu bagi memastikan Selangor dapat mengekal prestasi semasa seterusnya mempertahan kejuaraan dalam edisi akan datang.

“PBT juga boleh diberi tanggungjawab untuk membangunkan sukan tertentu sehingga ia menjadi identiti atau jenama kawasan berkenaan. Ini boleh dijadikan KPI (petunjuk prestasi utama) kepada PBT,” katanya.

Pemandangan keseluruhan kolam renang di Pusat Akuatik yang kini siap dibina dan bersedia menerima atlet serta pegawai temasya SUKMA di Pusat Akuatik, Shah Alam pada 14 Julai 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Namun, Dr Pekan mengingatkan sesebuah PBT perlu menunjukkan pencapaian terlebih dahulu sebelum menerima sokongan peruntukan daripada pentadbiran negeri.

“Kalau PBT buat kerja, bangunkan sukan, lahirkan bakat dan tunjukkan keputusan, barulah pengagihan peruntukan boleh diberi berdasarkan prestasi.

“Pendekatan itu secara tidak langsung membolehkan setiap PBT merancang program sukan komuniti dengan lebih teratur, berfokus dan mampan,” katanya lagi.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.