SHAH ALAM, 12 OGOS: Pengusaha kedai kopi dari Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Mohamad Azmi Warisan dinobatkan sebagai Usahawan Cemerlang PBT (MDSB) pada Majlis Anugerah Platform Selangor 2026, sekali gus mengharumkan nama daerah itu di peringkat negeri.
Anugerah berkenaan disampaikan pada majlis anjuran Platform Selangor yang berlangsung di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, Petaling Jaya pada 7 Ogos lalu bagi mengiktiraf usahawan Selangor yang cemerlang dan berdaya saing.
Mohamad Azmi mengusahakan perniagaan kedai kopi selain menjual biji kopi serta pelbagai produk berasaskan kopi di Sungai Air Tawar.
Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berkata kejayaan tersebut membuktikan usahawan tempatan mampu menghasilkan produk berkualiti dan bersaing di peringkat lebih tinggi.
"Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk terus maju, berdaya saing dan mengharumkan nama Sabak Bernam," menurut MDSB menerusi hantaran di Facebook.
Majlis itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari.
Turut hadir Yang Dipertua MDSB, Awaluddin Zakaria; Pegawai Perhubungan Usahawan MDSB, Zafiyanti Burhanudin; serta 10 kakitangan MDSB yang hadir memberikan sokongan kepada penerima anugerah.







