SHAH ALAM, 8 OGOS: Sebanyak 164 pelayan (server) perlombongan mata wang digital (Bitcoin) disita dalam operasi bersepadu Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di empat premis sekitar Sungai Besar dan Pekan Sabak Bernam semalam.
Operasi yang berlangsung dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam itu dijalankan bagi membanteras aktiviti perlombongan Bitcoin secara haram serta penyambungan bekalan elektrik secara tidak sah.
MDSB dalam kenyataan memaklumkan operasi diketuai Timbalan Yang Dipertua MDSB dengan penyertaan 11 anggota penguat kuasa MDSB, sembilan pegawai TNB dan 15 anggota teknikal.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua premis terbabit disyaki menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin tanpa kebenaran selain mencuri bekalan elektrik bagi mengendalikan operasi berkenaan.
"Susulan itu, sebanyak 164 pelayan disita dan tindakan penguatkuasaan diambil bagi membanteras kegiatan perlombongan mata wang digital serta kecurian tenaga," menurut MDSB di Facebook.
MDSB berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan TNB dalam mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membendung kegiatan yang melanggar undang-undang.
Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan premis yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan mata wang digital atau penyambungan bekalan elektrik secara haram.








