MPHS cipta sejarah, julang kejuaraan Tekken 8 MALA 2026

12 Ogos 2026, 4:42 AM
MPHS cipta sejarah, julang kejuaraan Tekken 8 MALA 2026

SHAH ALAM, 12 OGOS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara acara Tekken 8 pada Karnival Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) Fasa 3 Tahun 2026.

Kejohanan di SPICE Convention Centre, Bayan Baru, Pulau Pinang itu menyaksikan kontinjen MPHS menamatkan saingan dengan kejayaan terbesar mereka sejak menyertai Karnival Sukan MALA.

Lebih manis, kejuaraan tersebut hadir selepas sekian lama MPHS turun beraksi dalam pelbagai acara sukan MALA tanpa pernah merasai nikmat muncul juara.

Kejayaan berkenaan turut memperlihatkan kebangkitan MPHS dalam arena e-sukan, yang diperkenalkan sebagai antara acara baharu pada Karnival Sukan MALA 2026.

Menurut MPHS, pencapaian itu membuktikan kesungguhan, disiplin dan semangat juang kontinjen mereka dalam bersaing dengan pasukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dari seluruh negara.

“Kesungguhan dan semangat tidak pernah berputus asa akhirnya membuahkan hasil dengan sebuah kejuaraan yang menjadi sejarah pertama buat MPHS,” maklum MPHS menerusi Facebook.

Dalam saingan sama, pasukan EAFC26 World Cup Edition MPHS turut mencatat keputusan membanggakan apabila mara ke peringkat suku akhir sebelum menamatkan saingan dalam kelompok tujuh terbaik keseluruhan.

Pengenalan e-sukan dalam Karnival Sukan MALA 2026 disifatkan MPHS sebagai langkah seiring perkembangan teknologi serta peningkatan penglibatan masyarakat terhadap sukan elektronik.

Kejayaan itu sekali gus menyuntik semangat baharu buat kontinjen MPHS untuk terus memburu lebih banyak kejayaan dalam penganjuran Karnival Sukan MALA akan datang.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.