SUKMA 2026: Misi bola keranjang 3x3 Selangor pertahan emas

12 Ogos 2026, 4:52 AM
SUKMA 2026: Misi bola keranjang 3x3 Selangor pertahan emas
SUKMA 2026: Misi bola keranjang 3x3 Selangor pertahan emas

KLANG, 12 Ogos: Skuad bola keranjang 3x3 Selangor menggalas misi mempertahankan dua pingat emas dalam acara lelaki dan wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, biarpun menyedari cabaran daripada negeri lain semakin sengit.

Kejayaan menyapu bersih kedua-dua pingat emas pada edisi SUKMA 2024 di Sarawak menyaksikan Selangor hadir sebagai pasukan pilihan, lebih-lebih lagi apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Pada aksi pagi tadi di Gelanggang Bola Keranjang Bukit Tinggi 2, skuad wanita membuka kempen Kumpulan C dengan langkah kanan selepas menewaskan Negeri Sembilan 20-7.

Mereka kemudiannya dijadualkan berdepan Johor dan Sarawak bagi melengkapkan saingan peringkat kumpulan.

Sementara itu, skuad lelaki turut mempamerkan aksi meyakinkan dalam perlawanan pertama Kumpulan A apabila menundukkan Kedah 21-11.

Selangor selepas ini akan berdepan Wilayah Persekutuan dalam usaha mengesahkan tempat ke suku akhir yang dijadualkan berlangsung esok, 13 Ogos.

Pengurus pasukan, Tan Boon Thiam mengakui usaha mempertahankan kejuaraan bukan tugas mudah memandangkan Selangor kini menjadi sasaran pasukan lain.

"Setelah memenangi dua pingat emas pada 2024 dan kini bermain di gelanggang sendiri, Selangor menjadi sasaran oleh pasukan lain.

“Mempertahankan kejuaraan pastinya menjadi lebih sukar tetapi kami akan lakukan yang terbaik untuk membawa Selangor menjadi juara keseluruhan,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, Selangor mempertaruhkan gabungan pemain senior dan junior dalam misi memburu emas, namun barisan atlet yang diturunkan berjaya mempamerkan persembahan positif di hadapan penyokong sendiri.

Sekiranya berjaya menepati sasaran, bola keranjang 3x3 berpeluang menghadiahkan dua pingat emas pertama buat Selangor pada Khamis, dua hari menjelang pembukaan rasmi SUKMA 2026 pada Sabtu.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.