Selangor sasar 5,000 sukarelawan jayakan SUKMA 2026, penyertaan masih dibuka

8 Feb 2026, 3:58 AM
Selangor sasar 5,000 sukarelawan jayakan SUKMA 2026, penyertaan masih dibuka
Selangor sasar 5,000 sukarelawan jayakan SUKMA 2026, penyertaan masih dibuka
Selangor sasar 5,000 sukarelawan jayakan SUKMA 2026, penyertaan masih dibuka
Selangor sasar 5,000 sukarelawan jayakan SUKMA 2026, penyertaan masih dibuka
Selangor sasar 5,000 sukarelawan jayakan SUKMA 2026, penyertaan masih dibuka

SHAH ALAM, 8 FEB: Selangor menyasarkan lebih 5,000 sukarelawan bagi menjadi nadi penggerak utama dalam memastikan kelancaran penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini kira-kira 1,000 individu sudah mendaftar dan penyertaan masih dibuka sehingga sebelum temasya sukan terbesar negara itu bermula.

Menurut beliau, pendaftaran boleh dibuat menerusi laman web rasmi www.selangor2026.com dengan mengakses pautan sukarelawan atau melalui kod QR yang dikongsikan di laman sosial rasmi @selangor2026.

“Sebenarnya kita sasarkan 5,000 orang sukarelawan secara keseluruhan tetapi sekiranya ada lebih kita sedia menerima kerana banyak perkara yang akan dilaksanakan memerlukan bantuan pada acara yang akan berlangsung Ogos nanti.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Pelancaran Sukarelawan SUKMA XXII dan PARA SUKMA 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam pada 8 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Ini adalah acara kita bersama di Selangor dan kita ingin pastikan acara ini menjadi satu acara yang diingati dengan penganjuran yang terbaik, dengan keterlibatan seluruh rakyat dan juga masyarakat sebagai sukarelawan, sebagai penonton, sebagai penyokong kepada atlet kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini hari ini.

Turut hadir EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi; Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Dato’ Mohd Yazid Sairi dan Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Sementara itu, Mohd Najwan ketika ditemui berkata setiap sukarelawan berdaftar akan disaring oleh pihak sekretariat dan mereka yang terpilih akan mengikuti program latihan di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai pameran sempena majlis Pelancaran Sukarelawan SUKMA XXII dan PARA SUKMA 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam pada 8 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Jelasnya, ini kali kedua Selangor menjadi tuan rumah kepada penganjuran SUKMA selepas 28 tahun pada 1998 dan barisan sukarelawan ini bakal menjadi barisan hadapan yang akan membantu penganjuran dan penempatan mereka di kesemua gelanggang pertandingan melibatkan sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan.

“Kita harap anak-anak muda khususnya di Selangor mengambil peluang ini. Tugas mereka nanti antaranya adalah menguruskan perjalanan majlis dari segi teknikal dan protokol, ini pengalaman berguna dalam konteks kerjaya.

“Jangan lepaskan peluang untuk turut serta dalam keluarga besar Selangor 2026, elaun turut disediakan kepada sukarelawan yang menyertai. Penyertaan terbuka kepada individu berusia 18 hingga 40 tahun,” katanya.

SUKMA kali ke-22 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara perasmian berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala PARA SUKMA Selangor akan berlangsung dari 5 hingga 10 September 2026.

Sejumlah 474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala PARA SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.

Orang ramai mendaftar sebagai sukarelawan ketika majlis Pelancaran Sukarelawan SUKMA XXII dan PARA SUKMA 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam pada 8 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR