Kes buli pelajar membimbangkan, polis gesa kerjasama kerjasama masyarakat

11 Ogos 2026, 10:16 AM
Kes buli pelajar membimbangkan, polis gesa kerjasama kerjasama masyarakat

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Kes buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan menunjukkan trend peningkatan yang amat membimbangkan, menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, isu buli bukan tanggungjawab polis semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah dan masyarakat, lapor Berita Harian.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya tidak bersikap berkecuali, sebaliknya mengamalkan sikap prihatin dan mengambil tahu bagi membantu membanteras kes buli sebelum menjadi lebih serius.

"Masyarakat perlu prihatin dan ambil berat. Di sinilah kita kena amalkan 'jaga tepi kain orang' dan dalam aspek ini, ia langsung tidak salah.

"Hari ini perkara ini berlaku kepada anak yang kita tidak kenal, esok mungkin anak yang kita kenal dan lusa, mungkin darah daging kita sendiri yang menjadi mangsa. Adakah kita mahu tunggu sehingga tahap itu baharu hendak mengambil tindakan?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Trailer Filem Kesedaran Antibuli 'Is Not A Joke' di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini hari ini.

M Kumar turut menyelar tindakan segelintir individu yang lebih mengutamakan merakam kejadian buli untuk dimuat naik ke media sosial berbanding segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Menurutnya, sikap itu bukan sahaja boleh menjejaskan siasatan polis dan menyebabkan mangsa mengalami trauma berpanjangan, malah turut menggagalkan usaha pencegahan awal.

"Pelaku dan mangsa kedua-duanya adalah anak-anak kita. Semua kes buli adalah perkara yang boleh dielakkan sekiranya ibu bapa, masyarakat, sekolah serta agensi seperti PDRM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memainkan peranan secara bersungguh-sungguh," katanya.

Dalam pada itu, JSJ menerusi Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dengan kerjasama Dream Film Sdn Bhd menyasarkan jelajah tayangan trailer filem 'Is Not A Joke' ke sekurang-kurangnya 100 institusi pendidikan di seluruh negara.

Filem yang mendapat sentuhan nasihat teknikal dan kepakaran PDRM itu dijangka ditayangkan di pawagam menjelang musim perayaan hujung tahun ini atau Tahun Baharu Cina akan datang.

"Sasaran kita adalah membawa kesedaran terus kepada generasi muda. Jika sekurang-kurangnya 10 peratus audiens mendapat kesedaran daripada tayangan ini, kita sudah menganggap usaha ini berjaya," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.