'Geng Vinod' lumpuh, 11 individu ditahan dalam Op Rapido

23 Jul 2026, 11:30 AM
'Geng Vinod' lumpuh, 11 individu ditahan dalam Op Rapido

SHAH ALAM, 23 JULAI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 11 individu dipercayai anggota 'Geng Vinod' yang aktif melakukan jenayah kekerasan di sekitar Selangor menerusi Op Rapido yang dijalankan pada 23 dan 24 Jun lalu.

Kesemua suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 34 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen Selangor.

Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M Kumar berkata kumpulan itu diketuai lelaki tempatan berusia 30 tahun dan mempunyai 17 ahli yang terdiri daripada penjenayah berulang.

Menurut beliau, sindiket berkenaan aktif sejak 2023 dan terlibat dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan berkumpulan, cubaan bunuh, rusuhan menggunakan senjata selain menyebabkan kecederaan serta melakukan khianat.

“Modus operandi kumpulan ini melakukan samun bersenjata parang atau senjata tajam dengan menyasarkan premis kediaman selain melakukan kesalahan serius bagi tujuan mendapatkan faedah material, kuasa atau pengaruh.

“Menerusi operasi khas yang dilancar mulai 23 dan 24 Jun, seramai 11 suspek warga tempatan ditangkap dan direman bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 sehingga 25 Julai.

“Semua yang ditangkap mempunyai pelbagai rekod kesalahan lalu seperti cubaan bunuh, rompak berkumpulan, khianat, pecah rumah, ugutan jenayah dan pelbagai kesalahan dadah termasuk pengedaran,” katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, dengan penahanan kesemua suspek, PDRM berjaya menyelesaikan 21 kes serta melumpuhkan satu sindiket jenayah rompakan berkumpulan senjata yang aktif di Selangor.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menjadi ahli suatu kumpulan jenayah terancang dengan peruntukan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

“PDRM telah mengenal pasti identiti lima lagi ahli kumpulan ini yang masih bebas dan usaha mengesan mereka giat dijalankan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan semua suspek ditahan didakwa esok di Mahkamah Sepang pada jam 9.30 pagi bawah pertuduhan Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.