Sindiket pelacuran jana RM5.4 juta setahun tumpas

22 Okt 2026, 11:00 AM
Sindiket pelacuran jana RM5.4 juta setahun tumpas

SHAH ALAM, 22 OKT: Polis berjaya menumpaskan Geng Yunaa yang dipercayai mampu menjana pendapatan RM5.4 juta setahun menerusi kegiatan pelacuran dan eksploitasi seksual termasuk membabitkan kanak-kanak di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata kejayaan menerusi Op Angel yang dilaksanakan dari 24 hingga 26 September lalu turut membolehkan polis menyelesaikan 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seksual.

“Dengan penangkapan Geng Yunaa melalui operasi ini, polis berjaya menyelesaikan 17 kes serta melumpuhkan satu kumpulan jenayah terancang di bawah Kontinjen Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kumpulan yang aktif sejak 2024 itu mempunyai 10 ahli berusia antara 18 hingga 44 tahun dan diketuai seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun.

"Seramai tujuh suspek berjaya ditangkap dan ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 23 Oktober ini.

"Dua lagi ahli kumpulan sedang ditahan di Penjara Kajang dan Sekolah Henry Gurney, Melaka atas kesalahan pemerdagangan kanak-kanak serta kes pelacuran, manakala seorang lagi masih bebas dan giat dikesan polis," katanya.

Mengulas modus operandi, Kumar mendedahkan sindiket berkenaan merekrut remaja tempatan, warga asing dan kanak-kanak bawah umur untuk dieksploitasi dalam kegiatan pelacuran.

“Bagi mendapatkan pelanggan, kumpulan ini menggunakan aplikasi Telegram untuk mempromosikan perkhidmatan pelacuran dengan anggaran seramai 20 hingga 30 orang pelacur setiap hari.

"Pelanggan dikenakan bayaran antara RM200 hingga RM350 bergantung kepada pakej dan lokasi, manakala pembayaran dipercayai dibuat secara tunai, Touch 'n Go atau kod QR perbankan kepada ejen sindiket.

"Kumpulan itu dianggarkan memperoleh kira-kira 100 pelanggan sehari dengan kutipan RM150 bagi setiap pelanggan, sekali gus mampu menjana RM15,000 sehari atau RM450,000 sebulan," katanya.

Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas 14 telefon bimbit, 33 kotak kondom pelbagai jenama, enam kotak ubat pencegah kehamilan, tuala dan gel pelincir.

"Hasil semakan mendapati beberapa suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk pelacuran, pemerdagangan orang, pengedaran dadah dan penipuan," katanya.

Sembilan ahli kumpulan itu dijadual didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok (23 Oktober) di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara antara lima hingga 20 tahun.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.