Tangkapan Op Pedo meningkat, lebih 2 juta fail seksual kanak-kanak ditemukan

22 Sep 2026, 7:25 AM
Tangkapan Op Pedo meningkat, lebih 2 juta fail seksual kanak-kanak ditemukan

KUALA LUMPUR: Polis menemukan lebih 2.1 juta fail membabitkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi menerusi beberapa operasi khas yang dijalankan sejak 2024.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata Op Pedo dan Operation Cyber Guardian secara keseluruhan membawa kepada 170 tangkapan serta rampasan 369 barang kes.

Katanya, sebanyak 2,123,887 fail CSAM dan pornografi turut ditemukan hasil kedua-dua operasi berkenaan.

Jumlah tangkapan menerusi Op Pedo menunjukkan peningkatan apabila 13 individu ditahan dalam Op Pedo 1.0 pada 2024, diikuti 31 tangkapan menerusi Op Pedo 2.0 tahun lalu.

“Dalam Op Pedo 3.0 yang dilaksanakan bermula 14 hingga 16 September lalu, jumlah tangkapan meningkat kepada 53 individu.

“Setiap kali operasi, angka ini semakin besar dan bertambah. Jadi, kita perlu satu tindakan bersepadu yang lebih agresif, bukan sahaja dari sudut tindakan punitif tetapi juga kesedaran,” katanya di Bukit Aman, hari ini seperti dilapor BH.

Secara keseluruhan, tiga siri Op Pedo menghasilkan 97 tangkapan, 94 kertas siasatan serta rampasan 214 barang kes.

Operasi berkenaan turut menemukan 1,573,193 fail CSAM dan pornografi, masing-masing 40,000 fail menerusi Op Pedo 1.0, 880,000 fail dalam Op Pedo 2.0 dan 653,193 fail menerusi Op Pedo 3.0.

Sementara itu, Operation Cyber Guardian yang bermula pada 20 Mac 2025 menghasilkan empat tangkapan, rampasan 29 barang kes dan penemuan 52,000 fail, manakala siri kedua dari 6 hingga 8 April lalu merekodkan 69 tangkapan, 126 rampasan serta 498,694 fail.

Dalam tempoh 1 Januari hingga 21 September lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula menerima 12,529 permohonan berkaitan kandungan pornografi dan CSAM di media sosial serta perkhidmatan mesej Internet.

Daripada jumlah itu, sebanyak 11,665 kandungan diturunkan manakala 1,031 laman disekat oleh SKMM.

Kumar berkata usaha menangani kegiatan berkenaan memerlukan kerjasama berterusan antara agensi, badan bukan kerajaan, ibu bapa dan masyarakat, selain penguatkuasaan serta peningkatan kesedaran mengenai penggunaan teknologi dan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.