SUBANG JAYA, 8 APRIL: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) dicadang dilaksanakan dengan lebih kerap sekiranya berlaku krisis bekalan makanan akibat konflik berpanjangan, bagi memastikan rakyat terus menikmati harga barangan keperluan yang berpatutan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Abbas Azmi berkata langkah itu bagi memastikan konflik berpanjangan tidak menjejaskan kehidupan harian rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan keluarga ramai.
“Jika kemungkinan ada gangguan daripada segi harga barang saya mohon kepada PKPS kita perbanyakkan lagi program JER. Kalau kita tengok rekod sebelum ini, bila berlakunya Covid-19 dulu, selepas habis pandemik itu rakyat dalam keadaan yang baru nak bangun semula.

“Selangor mengorak langkah awal dengan laksana JER, ia sangat membantu untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi selepas berlakunya krisis. JER boleh diperbanyakkan lagi. Setakat ini kekerapan JER dan Jualan Rahmah Madani di DUN Seri Setia empat kali sebulan.
“Jadi jika berlaku juga krisia bekalan makanan susulan konflik dunia, saya cadangkan mungkin JER perlu dibuat lebih kerap,” katanya ditemui selepas melakukan tinjauan harga barang dan bekalan makanan di Pasar Borong Selangor hari ini.
Terdahulu, Abbas memaklumkan bekalan makanan di Pasar Borong Selangor kekal mencukupi dengan harga barangan masih terkawal walaupun negara berdepan tekanan kenaikan harga minyak global.
Katanya tinjauan di pasar itu mendapati stok makanan termasuk beras, ikan, ayam, daging, kambing, sayur-sayuran dan makanan laut berada pada tahap memuaskan serta mudah diperoleh.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pakar Ekonomi Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), Maximo Torero berkata konflik di Asia Barat boleh meningkatkan risiko terhadap keterjaminan makanan global, khususnya bagi negara yang sangat bergantung kepada import makanan, baja dan bahan api.
Menurutnya, krisis itu mendedahkan kerentanan negara yang mempunyai pengeluaran domestik terhad dan sangat bergantung kepada laluan bekalan luar.












