SHAH ALAM, 11 OGOS: Pasukan siasatan khas merentasi agensi penguatkuasaan perlu ditubuhkan bagi meneliti dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), termasuk mengenal pasti sebarang kesalahan dan pihak yang bertanggungjawab.
Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pasukan berkenaan wajar melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

“Saya ingin mencadangkan agar kajian ataupun laporan RCI ini kekal menjadi satu sejarah yang boleh dinilai. Ini supaya hasil ketetapan Dewan akan diambil tindakan oleh satu pasukan siasatan khas merentasi polis, SPRM, Bank Negara, SC dan NFCC.
“Kerana ia bukan hanya melibatkan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Tabung Haji tetapi ia telah mencalarkan imej negara yang sangat dihormati selama ini,” katanya ketika berbahas pada Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.
Amirudin berkata dapatan RCI perlu disusuli tindakan lebih menyeluruh kerana kesalahan pengurusan TH ketika itu bukan sekadar kekhilafan biasa di bawah Akta Tabung Haji.
Beliau berkata antara isu yang perlu diberi perhatian ialah pengagihan keuntungan atau hibah yang didakwa melanggar Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), yang menetapkan pembayaran hibah hanya boleh dibuat sekiranya jumlah aset melebihi jumlah liabiliti.
Bagaimanapun, Amirudin berkata hukuman atau tindakan yang diperuntukkan di bawah undang-undang berkenaan tidak memadai, justeru pihak berkuasa wajar mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
“Isunya di sini, daripada apa yang saya lihat, seksyen ini hanya mengenakan tindakan yang sangat kecil. Satu-satu kesalahan hanya diambil tindakan tidak kurang tiga bulan penjara atau kurang tiga bulan penjara dan juga RM5,000 untuk kesalahan pertama.
“Untuk kesalahan kedua, hanyalah RM10,000 dan tiga bulan atau enam bulan penjara. Dan ini, saya percaya, wajar untuk diambil tindakan supaya perkara ini tidak berulang lagi.
“Satu akta dan undang-undang yang baik mampu mengekang atau mengelakkan pihak tertentu melakukan kesalahan-kesalahan sebagaimana yang telah dilakukan dalam kes atau urusan-urusan yang lain,” katanya.
Pada 29 Julai lalu, kerajaan memutuskan untuk mendedahkan laporan RCI setebal 211 halaman yang membongkar pelbagai kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.







