Kemiskinan bandar: Ahli parlimen Gombak cadang wujud kementerian khas tangani isu

28 Jan 2026, 9:54 AM
Kemiskinan bandar: Ahli parlimen Gombak cadang wujud kementerian khas tangani isu

SHAH ALAM, 28 JAN: Satu kementerian atau portfolio khas bagi menangani kemiskinan bandar perlu diwujudkan bagi memastikan pendekatan lebih tersusun, menyeluruh dan berfokus.

Ahli Parlimen Gombak, berkata kementerian itu boleh merancang dasar khusus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat bandar, sejajar dengan cabaran kos sara hidup dan realiti kehidupan di kawasan perbandaran.

Jelas, Dato’ Seri Amirudin Shari usaha bersepadu Kerajaan Persekutuan, Negeri dan kerajaan tempatan penting dalam merangka pelan khusus bagi membasmi isu kemiskinan bandar, dengan pendekatan menyeluruh merangkumi aspek pendapatan, perumahan, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan sosial rakyat bandar.

“Justeru langkah pertama adalah untuk memastikan adanya satu kementerian. Kalau kita gagal untuk mempunyai satu kementerian dan portfolio khusus menangani kemiskinan bandar, kita akan hanya menangani simptom dan juga gagal menangani masalah itu secara serius.

“Negara kita berkembang dengan agak pesat dalam tempoh 50 hingga 60 tahun yang lalu dan sudah pasti kepesatan itu turut disusuli dengan pembangunan kawasan perbandaran.

“Di Selangor hampir 70 hingga 80 peratus lokaliti kita telah menjadi kawasan perbandaran dengan sebab kepesatan pembangunan yang berlaku dalam tempoh 20 hingga 25 tahun yang lalu,” katanya dalam dalam sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Amirudin, walaupun kerajaan sudah menetapkan nilai ambang kemiskinan di bandar dan luar bandar, kepesatan pembangunan di bandar turut memerangkap beberapa kelompok dikategorikan sebagai miskin bandar.

“Sepanjang pengalaman saya sendiri melihat secara langsung masalah kemiskinan bandar, ia bukan satu isu yang boleh dilihat sekali imbas kerana mempunyai lapisan tertentu dan rangkaian permasalahan.

“Ia bukan hanya persoalan tentang kekurangan makan, ketidakcukupan kewangan tetapi menyebabkan malnutrisi yang memberi kesan kepada otak dan kualiti pembelajaran yang akhirnya membuatkan mereka tertinggal daripada arus pembangunan dan kemajuan dalam negara kita. Ini yang harus kita tangani secara komprehensif,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum ini bertitah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bermula tahun ini perlu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat.

Bertitah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara 19 Januari lalu, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa sistem pendidikan perlu terus diperkasa sebagai asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara.

Titah Baginda, tahun ini merupakan permulaan RMK-13 dan mahu rancangan itu memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat terutama dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.