Penambahbaikan menyeluruh pusat akuatik cermin iltizam Selangor perkasa aset awam

8 Ogos 2026, 7:58 AM
Penambahbaikan menyeluruh pusat akuatik cermin iltizam Selangor perkasa aset awam
Penambahbaikan menyeluruh pusat akuatik cermin iltizam Selangor perkasa aset awam
Penambahbaikan menyeluruh pusat akuatik cermin iltizam Selangor perkasa aset awam

SHAH ALAM, 8 OGOS: Penambahbaikan menyeluruh Pusat Akuatik Darul Ehsan yang kini dikenali sebagai Akuatik Selangor mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri untuk terus memperkasa aset awam supaya kekal berkualiti, selamat dan memberi manfaat kepada masyarakat dalam jangka panjang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan projek berkenaan bukan sekadar untuk menyediakan kemudahan bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2026, sebaliknya memastikan pusat berkenaan terus relevan sebagai kemudahan latihan, pertandingan dan rekreasi selepas temasya itu berakhir.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap di Majlis Penjenamaan Semula Akuatik Selangor Seksyen 13 Shah Alam pada 8 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SEANGOR

“Akuatik Selangor yang telah menjalani kerja naik taraf menyeluruh kini menjadi kemudahan moden yang memenuhi keperluan latihan atlet dan penganjuran pertandingan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa, selain menyediakan ruang rekreasi yang selamat dan kondusif untuk masyarakat.

“Kerja naik taraf melibatkan penambahbaikan kemudahan kolam renang, sistem mekanikal dan pam, ciri keselamatan, landskap serta pelbagai kemudahan sokongan.

“Penambahbaikan ini akan memastikan pusat berkenaan beroperasi dengan lebih cekap dan lestari, selain memenuhi piawaian semasa,” katanya ketika berucap pada majlis penjenamaan semula Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.

Projek naik taraf yang bermula pada Oktober tahun lalu itu turut meliputi kemudahan awam, landskap, sistem pam dan ciri keselamatan bagi menyediakan persekitaran lebih selesa serta selamat kepada atlet dan pengunjung.

Pusat berkenaan akan digunakan sebagai lokasi acara akuatik SUKMA 2026, dengan pertandingan polo air dijadual bermula 12 Ogos, tiga hari sebelum upacara pembukaan rasmi temasya pada 15 Ogos.

Amirudin berkata kesediaan Selangor menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu membuktikan keupayaan negeri menyediakan infrastruktur berkualiti tinggi serta sistem pengurusan yang cekap.

“Penganjuran temasya ini bukan sekadar mengenai persaingan merebut pingat, tetapi peluang untuk kita mempamerkan keupayaan Selangor sebagai sebuah negeri yang mempunyai infrastruktur berkualiti tinggi, sistem pengurusan cekap dan kesungguhan untuk menjayakan penganjuran acara sukan peringkat kebangsaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan nilai pelaburan terhadap kemudahan awam tidak seharusnya dinilai berdasarkan aspek fizikal semata-mata, sebaliknya turut dilihat daripada manfaat yang dapat dinikmati masyarakat dalam tempoh panjang.

Menurutnya, kemudahan sukan berkualiti merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat, terutama ketika negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global, perkembangan geopolitik, cabaran rantaian bekalan dan peningkatan kos sara hidup.

“Legasi sebenar ialah lahirnya lebih ramai golongan muda yang menjadikan sukan sebagai sebahagian daripada kehidupan, pembangunan atlet bertaraf dunia serta pembentukan masyarakat yang lebih sihat, berdisiplin dan bersatu.

“Pelaburan dalam kemudahan awam berkualiti bukan sekadar perbelanjaan, tetapi pelaburan strategik dalam modal insan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Amirudin berkata sukan juga mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, selain mewujudkan limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, hospitaliti, perniagaan kecil dan industri sokongan.

“Setiap kemudahan yang dinaik taraf membawa pulangan yang jauh melangkaui nilai fizikalnya,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri akan terus memastikan kemudahan awam milik rakyat diselenggara dengan baik supaya kekal relevan, lestari dan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Terdahulu, majlis penjenamaan semula anjuran Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Turut hadir EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Saipolyazan M Yusop, Ahli Lembaga Pengarah DEFM serta Ketua Pegawai Eksekutifnya Rusman Md Lizah dan wakil agensi berkaitan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.