SUKMA 2026: Selangor buka langkah kanan, atasi Pulau Pinang 20-12

13 Ogos 2026, 3:37 AM
SUKMA 2026: Selangor buka langkah kanan, atasi Pulau Pinang 20-12
SUKMA 2026: Selangor buka langkah kanan, atasi Pulau Pinang 20-12

SHAH ALAM, 13 OGOS: Selangor membuka langkah kanan selepas menewaskan Pulau Pinang 20-12 dalam aksi pertama acara polo air wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Akuatik Selangor di sini, hari ini.

Selangor bermula garang apabila meledak gol pembukaan hanya 16 saat selepas perlawanan bermula sebelum menamatkan suku pertama dengan lapan gol.

Skuad tuan rumah terus menguasai permainan sebelum meningkatkan rentak pada suku keempat untuk melebarkan jurang dan mengesahkan kemenangan 20-12.

Jurulatih Selangor, Sarah Ann Thorl menyifatkan kemenangan itu sebagai permulaan baik buat pasukannya dan berharap momentum berkenaan dapat diteruskan dalam perlawanan seterusnya.

Jurulatih polo air Selangor, Sarah Ann Thorl ditemui media selepas aksi pertama menentang Pulau Pinang pada temasya SUKMA 2026 di Akuatik Selangor, Shah Alam pada 13 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

“Pasukan bermain dengan baik dan ini merupakan permulaan yang baik.

“Kami bersedia untuk menghadapi perlawanan seterusnya dan mahu terus membina momentum ini sehingga ke peringkat akhir,” katanya ketika ditemu bual Media Selangor.

Sementara itu, pemain Selangor, Low Kay Qing menyifatkan kemenangan berkenaan penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan menjelang aksi seterusnya.

Beliau berkata pasukan berjaya meningkatkan prestasi pada suku ketiga dan keempat sekali gus memastikan kemenangan menjadi milik Selangor.

“Sebenarnya, perlawanan ini sepatutnya lebih mudah bagi kami.

“Namun, kami berjaya meningkatkan prestasi selepas suku ketiga dan keempat. Jadi, itu satu perkara yang baik untuk kami,” katanya.

Pemain polo air wanita Selangor, Low Kay Qing berkongsi pandangan mengenai prestasi pasukan selepas menewaskan Pulau Pinang 20-12 pada aksi pembukaan SUKMA 2026 di Akuatik Selangor, Shah Alam pada 13 Ogos 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Selangor bakal meneruskan saingan pusingan awal Kumpulan H menentang Sarawak di Akuatik Selangor, esok.

Akuatik Selangor yang terletak di Seksyen 13, kira-kira dua kilometer dari Stesen LRT Stadium Shah Alam, menjadi antara venue utama bagi acara akuatik SUKMA 2026.

Orang ramai yang ingin ke venue berkenaan boleh mencari lokasi ‘Akuatik Selangor’ menerusi aplikasi Waze atau Google Maps.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.