SHAH ALAM, 11 OGOS: Seramai 380 jurutera kini ditempatkan di dua Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) di Puchong dan Cyberjaya, dengan gaji permulaan dianggarkan RM6,000 sebulan, sekali gus menjana pendapatan tahunan sekitar RM27.36 juta.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata sebanyak 80 jurutera tempatan baharu telah diambil bekerja tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan tenaga jurutera dalam ekosistem berkenaan kepada 380 orang.

“Malaysia Semiconductor IC Design Park (MSICDP) menyasarkan jumlah keseluruhan tenaga jurutera meningkat kepada 400 orang menjelang akhir tahun 2026.
“Ini bermakna ekosistem berkenaan menyasarkan pengambilan sekurang-kurangnya 20 jurutera tambahan lagi bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Balakong Ong Chun Wei mengenai perkembangan terkini MSICDP dari segi pengoperasian, peluang pekerjaan serta nilai pelaburan yang diwujudkan, pada persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Menurut Sze Han, pencapaian itu membuktikan peranan MSICDP dan Selangor Semiconductor Hub sebagai pemangkin kepada pembangunan syarikat tempatan, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi serta pengukuhan ekosistem semikonduktor di Selangor dan Malaysia.
“Dari sudut pelaburan langsung dalam negeri (DDI), Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah mengesahkan komitmen pelaburan kepada Ehsan Semiconductor Fund.
“Dana tersebut seterusnya telah melaksanakan dua pelaburan aktif, masing-masing dalam SkyeChip Berhad dan GreatAsic Technology. SkyeChip turut mencatat sejarah sebagai syarikat reka bentuk IC tulen pertama di Malaysia yang melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO),” katanya.
Ketika ini, Selangor mempunyai dua Taman Reka Bentuk IC, masing-masing di Puchong dan Cyberjaya. Taman Reka Bentuk IC di Puchong dilancarkan pada Ogos 2024, manakala kemudahan di Cyberjaya mula beroperasi pada November 2025.










