KUALA LUMPUR, 15 OKT: Seramai 850 jurutera yang menjalani latihan di Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia (ASEM) berjaya memperoleh pekerjaan dengan jangkaan gaji melebihi RM5,000.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pencapaian itu mencerminkan usaha Selangor melahirkan tenaga kerja berkemahiran bagi menyokong pertumbuhan industri semikonduktor.
“Seramai 850 jurutera yang dilatih menerusi Program Kecemerlangan Semikonduktor Kebangsaan (NSEP) dan Program Kecemerlangan Semikonduktor Global (GSEP) mencatat kadar penempatan pekerjaan 100 peratus dengan jangkaan gaji melebihi RM5,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor Selangor (AiSEM) di sini, hari ini.
ASEM yang sebelum ini dikenali sebagai AI Nusantara merupakan inisiatif diterajui Kerajaan Negeri bagi memacu pembangunan bakat dalam industri semikonduktor Malaysia.
Sze Han berkata Selangor terus memperkukuh ekosistem semikonduktor menerusi pembangunan bakat, akses kepada modal dan penyediaan infrastruktur.

“Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) 1 dan 2 kini menempatkan 20 syarikat serta 409 jurutera, sekali gus melepasi sasaran 400 jurutera yang ditetapkan bagi tahun ini,” katanya.
Beliau turut mengulangi komitmen Selangor untuk menyumbang RM50 juta kepada Dana Pelaburan Strategik Nasional, menyertai Khazanah Nasional Bhd dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi inisiatif bernilai RM150 juta bagi mempercepat pertumbuhan syarikat semikonduktor dan teknologi termaju Malaysia.
Mengulas dakwaan Selangor bersaing dengan Pulau Pinang dalam industri semikonduktor, Sze Han berkata kedua-dua negeri memberi tumpuan kepada segmen berbeza dan saling melengkapi kekuatan masing-masing.
“Selangor dan Pulau Pinang akan sentiasa menjadi rakan sepasukan yang baik. Pulau Pinang mendahului dalam pembuatan, pemasangan dan pengujian, manakala Selangor menerajui reka bentuk IC bahagian hadapan serta inovasi cip.
“Bersama-sama, melalui Strategi Semikonduktor Nasional, kita akan membangunkan syarikat cip Malaysia yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Kewangan Liew Chin Tong berkata sudah tiba masanya Malaysia melangkah lebih jauh daripada sekadar menjalankan aktiviti pembuatan untuk syarikat multinasional kepada pembangunan dan reka bentuk teknologi semikonduktor sendiri.
“Kita mahu melihat Malaysia beralih daripada ‘Buatan di Malaysia’ kepada ‘Dihasilkan oleh Malaysia’,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi bagi mengekalkan tenaga mahir tempatan serta menggalakkan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara pulang berkhidmat.
“Malaysia tidak pernah mempunyai masalah kekurangan bakat, Malaysia hanya mempunyai masalah gaji,” katanya.
Chin Tong berkata kerjasama lebih erat antara kerajaan negeri, industri dan kerajaan Persekutuan penting bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor negara serta membantu syarikat tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.








