Selangor teroka kerjasama semikonduktor, AI dengan Belanda

26 Sep 2026, 9:05 AM
Selangor teroka kerjasama semikonduktor, AI dengan Belanda

SHAH ALAM, 26 SEPT: Selangor meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) dengan Belanda menerusi lawatan delegasi negeri ke Axelera AI di High Tech Campus, Eindhoven, pagi ini.

Delegasi itu diketuai EXCO Pelaburan Ng Sze Han bersama wakil Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Frankfurt dan Invest Selangor.

Sze Han berkata delegasi negeri menerima taklimat daripada Pengarah Pembangunan Perniagaan Axelera AI, Syamak Nazary, mengenai teknologi semikonduktor AI dan penyelesaian pemecutan AI yang dibangunkan syarikat itu.

"Axelera AI membangunkan penyelesaian pemecutan AI yang menjimatkan tenaga, termasuk Metis untuk edge AI serta platform baharu Eropah bagi kegunaan perusahaan dan pusat data.

"Perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama antara Axelera AI, ekosistem semikonduktor Belanda serta ekosistem semikonduktor dan AI yang sedang berkembang di Selangor," katanya di Facebook.

Sze Han berkata perbincangan turut merangkumi peluang menghubungkan ekosistem berkenaan dengan Malaysia Semiconductor IC Design Park kendalian SIDEC.

"Kedudukan Malaysia, khususnya Selangor, yang terletak antara Timur dan Barat memberi kelebihan untuk menghubungkan pelabur serta pemain industri dengan pasaran utama Asia.

"Dengan dasar perdagangan Malaysia yang terbuka dan seimbang, kedudukan ini membuka peluang dalam pelaburan semikonduktor, kerjasama teknologi dan perdagangan rentas sempadan," katanya.

Pada masa sama, delegasi Selangor menjemput rakan strategik dari Belanda untuk menyertai Selangor AI & Semiconductor Summit 2026 yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Lawatan itu merupakan antara usaha Selangor memperluas jaringan antarabangsa serta meneroka peluang kerjasama teknologi bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor dan AI negeri.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.