SHAH ALAM, 19 NOV: Taman reka bentuk litar bersepadu (IC) yang dibangunkan bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kini berkembang pesat sebagai salah satu hab bakat dan inovasi semikonduktor terpenting di negara ini.
Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping berkata perkara itu jelas melalui kejayaan melatih 600 jurutera tempatan dengan penempatan kerja 100 peratus, selain penghasilan teknologi yang sudah digunakan syarikat global seperti Tesla.
Taman semikonduktor yang terletak di Puchong turut menggajikan lebih 200 jurutera dalam tempoh lebih setahun.
“Kami yakin menjelang akhir 2026, jumlah jurutera digajikan mencecah 400 orang. Jurutera IC ini mendapat penempatan kerja 100 peratus, manakala gaji permulaan mereka antara yang tertinggi di Malaysia… antara RM5,000 hingga RM6,000 bagi pemegang ijazah sarjana muda dan RM7,000 bagi pemegang ijazah sarjana,” katanya kepada media selepas pameran IC Design Park 1 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.
Yong menambah bahawa produk yang dipamerkan hari ini menunjukkan kemampuan jurutera tempatan dan syarikat pemula yang dibimbing melalui Program Pemecut Sidec, iaitu inisiatif dwilaluan bagi mengembangkan startup dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berpotensi tinggi di Malaysia.
“Kita kini membawa standard sistem Tesla ke dalam kereta buatan Malaysia,” katanya.
Beliau memaklumkan Sidec ketika ini menyokong 90 startup, dengan sebahagiannya sudah membangunkan perkakasan berdaya saing untuk sektor automotif, satelit, dron dan pusat data.
Semua jurutera yang dilatih adalah rakyat Malaysia dan merupakan sebahagian daripada bakat industri elektrik dan elektronik negara.
EXCO pelaburan, perdagangan dan mobiliti negeri Ng Sze Han turut hadir pada majlis berkenaan.
Antara teknologi yang dipamerkan termasuk sistem ‘Green Lung’ Siri Verde keluaran Atoz Carbon Cycle, cip AI Vision ISP WyseTime, dron paparan pandangan pertama (FPV), cip pengesanan fotonik Liroc, platform pengkomputeran biologi Cortical Labs, SSD perusahaan MaiStorage, serta sistem IoT terbenam.
Taman reka bentuk IC pertama di Puchong telah dilancarkan secara rasmi pada Ogos 2024.
Pada 6 November lalu, inisiatif itu diperkasakan dengan pelancaran taman reka bentuk IC kedua di Cyberjaya yang menyediakan ruang tambahan serta kemudahan untuk syarikat reka bentuk cip, program pembangunan bakat dan kerjasama dengan rakan antarabangsa.
Pada pelancaran itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata taman kedua tersebut akan terus mengukuhkan peranan Selangor dalam rantaian nilai semikonduktor negara.
Beliau menyifatkannya sebagai satu pencapaian penting dalam misi Selangor menjadi hab semikonduktor utama negara dan pemain utama dalam ekosistem reka bentuk cip global.





