Selangor peruntuk RM3.5 juta geran penyelidikan, perkukuh agenda RS-2

10 Ogos 2026, 1:00 PM
Selangor peruntuk RM3.5 juta geran penyelidikan, perkukuh agenda RS-2
Selangor peruntuk RM3.5 juta geran penyelidikan, perkukuh agenda RS-2

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.5 juta bagi membiayai penyelidikan berimpak tinggi menerusi Geran Penyelidikan dan Inovasi Pembangunan Negeri Selangor (SELidik) 2026.

Geran itu bertujuan menyokong agenda pembangunan negeri berteraskan enam tema strategik Rancangan Selangor Kedua (RS-2), dengan RM2.5 juta disalurkan kepada Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (UNISEL), manakala RM1 juta lagi dibuka kepada universiti tempatan di Selangor.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata SELidik diperkenalkan buat pertama kali tahun ini bagi memperkukuh penyelidikan yang dapat menyokong pembentukan dasar serta pelaksanaan program pembangunan negeri.

“Ini adalah kali pertama geran penyelidikan Selangor diperkenalkan dan tahun ini peruntukannya RM3.5 juta.

“Daripada jumlah itu, RM2.5 juta disediakan untuk dua universiti di bawah Kerajaan Negeri, iaitu UIS dan UNISEL. Secara purata, setiap universiti menerima kira-kira RM1.25 juta untuk geran penyelidikan masing-masing.

“RM1 juta lagi akan dibuka kepada universiti tempatan di seluruh Selangor. Kita memberi keutamaan kepada universiti tempatan terlebih dahulu dan sekiranya terdapat lebihan peruntukan, kita mungkin mempertimbangkan penyertaan universiti antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran SELidik 2026 di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata setiap penyelidikan yang menerima geran berkenaan perlu memenuhi syarat utama dengan menghubungkannya kepada enam misi yang digariskan dalam RS-2.

“Tadi banyak kajian yang menyertai pelbagai bidang seperti pertanian, pendidikan, pembangunan inovasi dan pelbagai perkara lain.

“Jadi, ia akan dihubungkan terus dengan dasar yang hendak dibentuk dan diikuti dengan program-program yang akan dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin ketika membentangkan RS-2 memaklumkan pelan berkenaan menjadi tindakan utama bagi merealisasikan aspirasi Selangor sebagai Negeri Model ASEAN menjelang 2030.

Katanya, dokumen dasar bagi tempoh 2026 hingga 2030 itu menjadi hala tuju rasmi pembangunan negeri, selain berfungsi sebagai rujukan kepada semua agensi berkaitan.

Jelasnya, RS-2 turut menjadi rujukan agensi negeri termasuk jabatan, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat milik negeri dan pemegang taruh dalam melaksanakan agenda pembangunan.

RS-2 menggariskan enam misi utama iaitu:

  • Memacu Kepimpinan Ekonomi Selangor

  • Pembangunan Seimbang dan Peluang Saksama Merentasi Daerah

  • Negeri Penyayang dan Berdaya Huni

  • Modal Insan Produktif dan Inklusif

  • Negeri Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik

  • Kerajaan Efektif, Mesra Rakyat dan Perniagaan

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.