SHAH ALAM, 10 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, kata pengarah pilihan rayanya.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau bagaimanapun akan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan beberapa pimpinan dalam masa terdekat bagi mengetahui hala tuju sebelum menentukan langkah seterusnya.
“Barisan Nasional (BN) belum ada lagi tetapi saya akan bertemu dengan beberapa pimpinan dalam masa terdekat secara tak rasmi supaya nak mengetahui hala tujuan ke depan bertindak sebagai satu pasukan.
“Saya akan melaporkan kepada kepimpinan HARAPAN sesuai dengan posisi saya selaku pengarah pilihan raya HARAPAN. Tiada lagi pertemuan, tetapi saya akan adakan perbincangan secara tak rasmi dalam satu dua hari untuk melihat respon yang bagaimana,” katanya.
Beliau ditemui selepas pelancaran dan penyerahan tawaran Geran Penyelidikan dan Inovasi Negeri Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Amirudin turut menjelaskan pihaknya sedia mendengar pandangan daripada mana-mana pihak termasuk Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
"Kita dengar pandangan Ketua Menteri Melaka dengan Ketua Pemuda Malaysia...saya rasa Ketua Menteri Melaka lebih besar kedudukan beliau berbanding dengan saudara Akmal.
"Tetapi terpulanglah, kita tidak ada masalah untuk hadapi dan situasi keadaan sebelum-sebelum ini tapi kita tengok keadaan itu, kalau ada keperluan berbincang, kita berbincang. Ada keperluan untuk bertemu, kita bertemu sebab apa pun akhirnya dia akan menyentuh kepada kepentingan rakyat.
"Ada orang marahlah kalau kita bincang, ada juga orang marah kalau kita tidak bincang. Jadi, saya jumpa sahaja dulu, namanya bukan perbincangan ia adalah pertemuan," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Amirudin yang juga Dato' Menteri Besar berkata pihaknya terbuka menerima segala pujian yang diberikan sepanjang pentadbirannya termasuk daripada Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika membahas Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
"Terima kasih. Puji dan puja serta kutukan biasa dalam politik, cuma tidak tahu esok jadi apa, lusa jadi apa. Sama-sama kita berdoa," ujarnya lagi.










