KUALA SELANGOR, 10 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pencapaian edaran 5,555 cucuk sate kerang sempena Karnival Jom Santai @ Kuala Selangor 2026.
MPKS menerusi hantaran di Facebook berkata pencapaian itu hasil kerjasama dan komitmen pelbagai pihak dalam mengangkat sate kerang sebagai antara warisan gastronomi tempatan Kuala Selangor.
Menurutnya, usaha berkenaan turut bertujuan memperkenalkan identiti serta keistimewaan daerah itu kepada masyarakat.
“Pengiktirafan ini turut menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam Sambutan Ulang Tahun Kelima Perbandaran Kuala Selangor,” menurut kenyataan itu.
MPKS berkata pencapaian berkenaan sekali gus memperkukuhkan usaha pihaknya mempromosikan Kuala Selangor sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan sejarah, budaya, warisan dan gastronomi.








