SHAH ALAM, 10 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI merekodkan keuntungan kira-kira RM200 juta pada suku pertama tahun ini hasil prestasi 27 anak syarikatnya, sekali gus meletakkannya pada landasan tepat untuk mencapai sasaran THRIVE28.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Dato’ Saipolyazan M. Yusop berkata prestasi berkenaan didorong tumpuan anak syarikat kepada perniagaan yang mampan bagi memastikan pulangan dalam bentuk dividen dapat disalurkan kepada MBI dan Kerajaan Negeri.
“Anak-anak syarikat kita sekarang memberi tumpuan kepada perniagaan yang mampan untuk memberi dividen kepada MBI dan Kerajaan Negeri. Sekarang kita berada di fasa kedua dan memasuki fasa ketiga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada program CEO Circle 26 di Hotel Saujana Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurutnya, hampir keseluruhan anak syarikat yang terlibat dalam bidang komersial dijangka mencatat keuntungan, manakala hanya dua hingga tiga syarikat masih memerlukan perhatian dan sokongan MBI.
“Bagi dua atau tiga anak syarikat yang masih belum mencapai keuntungan, kita sedang melihat bagaimana untuk membantu mereka dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan kepada MBI serta Kerajaan Negeri,” katanya.
Saipolyazan berkata menerusi visi THRIVE28, MBI akan menilai semula operasi, perniagaan dan portfolio anak syarikat bagi memastikan setiap entiti mampu menjana keuntungan secara berterusan untuk MBI dan Kerajaan Negeri.
“Kita akan melihat semula operasi, perniagaan dan portfolio anak-anak syarikat supaya kita dapat memastikan perniagaan yang ada memberikan keuntungan secara berterusan kepada MBI dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap momentum keuntungan berkenaan dapat dikekalkan meskipun persekitaran semasa mencabar berikutan perkembangan geopolitik dan ekonomi global.
“Kita harap momentum keuntungan yang sedia ada ini dapat dikekalkan walaupun kita tahu cabarannya agak besar dengan keadaan semasa dari segi geopolitik dan ekonomi.
“Tetapi kita yakin sasaran yang telah ditetapkan dalam THRIVE28, iaitu pendapatan RM8 bilion dan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM1.2 bilion, dapat dicapai,” katanya.
THRIVE28 iaitu pelan transformasi strategik dan menyeluruh bagi membentuk masa depan yang lebih mantap, mampan dan berdaya saing.







