Penubuhan Syarikat Pelaburan Induk Negeri optimum aset, tingkat pulangan Selangor

9 Ogos 2026, 11:00 PM
Penubuhan Syarikat Pelaburan Induk Negeri optimum aset, tingkat pulangan Selangor

SHAH ALAM, 10 OGOS: Penubuhan Syarikat Pelaburan Induk Negeri menjadi langkah strategik bagi mengoptimumkan aset, sumber dan syarikat milik Kerajaan Negeri supaya dapat memberikan pulangan lebih efisien dan tinggi kepada Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata inisiatif itu merupakan sebahagian daripada perancangan strategik MBI yang selaras dengan hala tuju Rancangan Selangor Kedua (RS-2).

Menurutnya, penubuhan syarikat berkenaan akan membolehkan aset dan perniagaan syarikat milik Kerajaan Negeri disusun semula secara lebih strategik, selain mengurangkan pertindihan fungsi serta memaksimumkan nilainya.

“Ini sebahagian daripada rancangan kita yang telah kita bentangkan kepada Lembaga Pengarah MBI dan juga dalam beberapa perbincangan dengan Kerajaan Negeri untuk mula mengadakan syarikat pelaburan Kerajaan Negeri ini.

“Seperti kaedah yang ada di pusat (Persekutuan) ada MKD, ada Khazanah dan sebagainya supaya kita dapat aturkan semula aset-aset di Selangor ini termasuk perniagaan-perniagaan, syarikat-syarikat supaya memberi pulangan yang lebih efisien dan tinggi kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau ditemui pada Karnival Kerjaya Mega JobCare Selangor 2026 bersama MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Shah Alam, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato' Ts Saipolyazan M Yusop ketika program Mega Jobcare Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 8 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Saipolyazan berkata penubuhan syarikat pelaburan induk itu juga bertujuan menggembleng aset dan sumber Selangor bagi memastikan pelaburan berprestasi tinggi dapat dimanfaatkan untuk kepentingan negeri pada masa hadapan.

“Pada waktu yang sama, bagaimana kita membina satu syarikat yang memegang amanah Kerajaan Negeri sebagai syarikat pelaburan atau sayap pelaburan untuk Selangor.

“Yang mana sumber-sumber yang ada tadi digunakan yang kalau kita boleh sebut mungkin Khazanah Selangor ini, memastikan pelaburan-pelaburan berprestasi tinggi dan dapat digunakan sumber ini bagi kepentingan Selangor di masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata MBI optimis sasaran pendapatan melebihi RM8 bilion menjelang 2028 menerusi pelaksanaan pelan THRIVE28 mampu dicapai berdasarkan prestasi semasa.

Katanya, prestasi THRIVE28 kini berada pada landasan yang betul selepas memasuki fasa ketiga, dengan prestasi anak-anak syarikat dipantau secara berkala.

“Kita masuk ke fasa ketiga dan setakat ini kita adakan setiap tiga bulan bagaimana prestasi anak-anak syarikat yang kita letakkan di bawah program THRIVE ini, yang mana setakat ini masih on track,” katanya.

Dalam pembentangan usul RS-2 di Dewan Negeri Selangor pada Jumaat lalu, Kerajaan Negeri mencadangkan penyusunan semula operasi, peranan dan portfolio pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri serta anak syarikatnya.

Cadangan itu termasuk penjajaran semula fungsi MBI dan penubuhan Syarikat Pelaburan Induk Negeri yang bersepadu sepenuhnya bagi meningkatkan kesepaduan, kecekapan kos serta pulangan kepada Kerajaan Negeri.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.