SHAH ALAM, 7 OGOS: Kebergantungan kepada hasil berasaskan tanah yang mencecah kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan pendapatan negeri mendorong Selangor memperluas sumber hasil baharu menerusi pengukuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu melibatkan penjajaran strategik GLC, penyusunan semula peranan anak-anak syarikat serta penerokaan mekanisme pembiayaan inovatif bagi memastikan pelaburan awam memberi impak lebih besar.
“Penjajaran strategik antara GLC dan program negeri akan diperkasakan bagi memaksimumkan impak pelaburan awam selain memastikan setiap entiti negeri memainkan peranan yang lebih berkesan,” katanya ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Menurut Amirudin, Misi Keenam RS-2 memberi tumpuan kepada usaha mempelbagaikan aliran hasil negeri, meningkatkan penglibatan GLC serta sektor swasta, selain mengoptimumkan tadbir urus entiti negeri.
Katanya, penubuhan Syarikat Pelaburan Induk Negeri yang bersepadu sepenuhnya dijangka dapat meningkatkan kesepaduan pengurusan, kecekapan kos serta pulangan kepada Kerajaan Negeri.
Dalam masa sama, penyusunan semula fungsi anak-anak syarikat negeri akan dilaksanakan bagi memastikan setiap entiti mempunyai peranan lebih jelas, mengelakkan pertindihan fungsi serta membolehkan perkembangan perniagaan yang lebih strategik.
Antara usaha itu ialah pelaksanaan program THRIVE28 oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sejak 2024 yang memberi fokus kepada penjajaran fungsi serta peranan anak-anak syarikat di bawah kumpulan berkenaan.
Program berkenaan menyasarkan pencapaian RM8 bilion pendapatan terkumpul Kumpulan MBI menjelang 2028 menerusi lima misi utama yang dilaksanakan dalam tiga fasa sepanjang tempoh lima tahun.
“Penjajaran GLC ini akan memastikan tiada pertindihan fungsi dan peranan antara anak-anak syarikat, selain membolehkan mereka berkembang dengan sasaran baharu yang selari dengan perubahan ekonomi semasa.
“Selangor perlu memberi tumpuan kepada sektor ekonomi berasaskan teknologi dan perkhidmatan bagi memastikan negeri terus berdaya saing,” katanya.
Amirudin berkata pengukuhan peranan GLC akan membantu Selangor membina ekonomi yang lebih mampan, inovatif serta berdaya tahan, selaras dengan matlamat RS-2 untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negeri memberi manfaat kepada rakyat.
RS-2 ialah kerangka pembangunan Selangor bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menggariskan enam misi merangkumi 25 bidang dan 98 inisiatif.
Rancangan lima tahun itu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pengurangan jurang pembangunan antara daerah serta peningkatan kualiti hidup menerusi pendekatan kehidupan wajar dan bermaruah.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan https://www.amirudinshari.com/rs2 atau atau https://www.selangor.gov.my/rs2







