SHAH ALAM, 9 OGOS: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda lima daerah di Selangor sehingga jam 12 tengah hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan terlibat ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
Amaran cuaca buruk turut dikeluarkan di Port Dickson di Negeri Sembilan serta Melaka dalam tempoh berkenaan.
"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya berwaspada, mengelakkan aktiviti luar serta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini yang dikeluarkan MetMalaysia.





