Oleh Sarip
Ilustrasi Muizzah
Anakronisme Nolan dalam The Odyssey (2026) begitu parah sekali. Tetapi mungkinkah yang dikritik ramai itu sebenarnya langsung tidak bermasalah?
Nolan menempa namanya dalam kalangan cinemophile sebagai seorang pembikin filem yang gemar menggunakan teknik jungkir balik. Karyanya juga selalu mengkritik faham kita, sehingga kita termenung sendiri atau galak berdebat di meja kopi. Misalnya, dalam Memento (2000) beliau mengajak kita berfikir tentang memori dan pilihan, manakala dalam The Dark Knight (2008) beliau memaksa kita memeriksa semula pendirian moral apabila berhadapan kepentingan peribadi.
Tetapi selepas Interstellar (2014), Nolan seperti obses dengan peperangan. Bermula Dunkirk (2017) sebuah penceritaan semula peristiwa di pesisir pantai utara Perancis semasa Perang Dunia ke-2, Nolan beralih kepada peperangan masa hadapan yang memberi impak rentas zaman melalui TENET (2020). Semangat antiperangnya menyerlah cemerlang dalam biopik Oppenheimer (2023) yang membawa tema kemusnahan maha dahsyat apabila ilmu sains fizik diterapkan dalam teknologi persenjataan moden. Obsesi ini kemudian diterjemahkan dalam bentuk filem terbarunya berupa saduran puisi epik dan mitos asasi ketamadunan Barat itu.
Sememangnya, karya saduran tidak akan terlepas daripada bidaah pengarang. Anakronisme adalah satu bentuk tokok tambah atau unsur yang janggal dari segi latar masa sesebuah naratif. Contoh yang jelas ada pada filmografi tempatan melalui babak Tarzan menaip surat dalam Labu Labi (1962). Tokok tambah dan anakronisme boleh berlaku atas pelbagai sebab. Mungkin, ia bertujuan praktikal. Misalnya, kapal perang Odysseus dalam filem Nolan dikatakan lebih mirip kapal perang Viking yang hanya muncul dua ribu tahun sesudah itu. Tetapi Nolan, yang berkeras menolak teknik kesan visual, terpaksa bergantung pada replika hidup kapal Draken Harald Hårfagre dan Glad av Gillberga. Kedua-duanya datang dari negeri Scandinavia.
Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama anakronisme menimpa puisi ini. Jika kita abaikan unsur ghaib dan magis sekalipun, puisi Homer yang asal itu masih lagi anakronistik untuk zamannya. Homer dikatakan menulis puisi itu sekitar 700 SM, tetapi kisah Peperangan Trojan, menurut kajian arkeologi, berlaku lebih awal sekitar 1000 – 1200 SM, iaitu pada penghujung Zaman Gangsa. Jika itu benar, maka Homer telah menokok tambah syair Odyssey itu agar sesuai dengan cita zamannya beberapa ratus tahun selepas peristiwa sebenar. Belum nyata wujud persenjataan besi pada Zaman Gangsa, dan belum ada nama berakhiran -eus: Odysseus, sesudah Zaman Besi. Bahkan keseluruhan plot mungkin gabungan beberapa kisah dan protagonisnya adalah gabungan beberapa watak. Justeru, sepatutnya kita tidak hiraukan lesen puitika besar yang Nolan ambil untuk menghasilkan filem ini. Anakronisme juga perlu kita fahami dengan fungsi lain.
Anakronisme yang paling ‘mencolok mata’ sepanjang filem ini adalah kesedaran zaman yang ada pada wataknya. Hal ini dapat dilihat pada Telemachus, ketika membentak Penelope dalam perbincangan tentang perkahwinan semula Ratu Ithaca itu sebagai persediaan mendepani ancaman ‘Orang Laut’. Telemachus telah berkata: “tetapi kitalah ketamadunan yang paling agung!”. Istilah yang diucapkan adalah civilisation yang berakar daripada civitas iaitu sebutan Latin untuk ‘bandar’. Apakah sebutan Greek untuk ketamadunan? Polistimos. Istilah ini juga berakar daripada polis yang merujuk ‘bandar’. Tetapi, polistimos sebenarnya istilah baru yang hanya diwujudkan pada 1804 oleh Adamantios Koraes, dan merupakan terjemahan harfiah kepada civilization itu tadi; suatu faham yang terbit daripada kesedaran sejarawi moden bermula di Perancis, Jerman, dan Inggeris.
Ketamadunan bukanlah sekadar gugusan amalan, perbuatan dan institusi yang dicirikan sesuatu bangsa. Itu dapat dicakupkan dengan istilah ‘kebudayaan’. Tetapi ketamadunan itu mestilah digaris satu kesedaran identiti kolektif dan kedudukannya dalam ruang-waktu sejarah yang mengalir lurus dan nisbi kepada kolektif (ketamadunan) lain. Ada beberapa perkara yang dapat kita rungkaikan. Pertama, faham tamadun berkait rapat dengan identiti yang membezakan ‘kita’ daripada ‘mereka’. Kedua, tamadun berkait rapat dengan faham sejarah moden. Jika kita bayangkan sejarah sebagai satu garis masa, tamadun adalah titik yang menempati sepanjang garis itu yang membolehkan kita mengukur kemajuan sesuatu bangsa secara nisbah kepada bangsa lain, sama ada kurang atau lebih bertamadun.
Hal yang membezakan Zaman Moden dengan Zaman Pra-Moden bukanlah teknologi, tetapi cara kita memahami sejarah. Sebelum ini, manusia melihat sejarah sebagai peristiwa yang berulang dalam satu kitaran. Sejarah tidak bergerak ke hadapan dalam satu arah, sama ada disebab hubris atau campur tangan dewa-dewi, manusia akan mengulang babak yang telah lalu. Ini berbeza dengan kefahaman sejarah moden, yang bukan sahaja mengandaikan kemajuan tetapi turut mengambil kira kerasionalan sejarah. Kemajuan bermaksud peningkatan tahap kehidupan umat manusia keseluruhannya menjadi lebih bagus berbanding tahap sebelum itu. Manakala sejarah yang rasional pula bermaksud kemajuan yang dicapai adalah hasil usaha dan pemikiran manusia. Tidak ada lagi campur tangan Athena atau bencana Zeus. Manusialah yang mengenderai takdir mereka.
Kefahaman sejarah moden ini membayangkan seluruh umat manusia, masing-masing sebagai unit tamadun mereka sendiri, terlibat dalam kawad agung dan pergerakan sejarah ke hadapan; ada yang tertinggal di belakang, ada yang ke muka paling depan. Tentulah Kaum Barat yang mengilhamkan faham sejarah moden ini melihat diri mereka sebagai pelopor dan barisan hadapan ketamadunan. Faham kemajuan dan ketamadunan jugalah yang nanti menjadi alasan kolonialisme di seluruh pelosok bumi yang mereka lihat gasar, mundur, dan belum maju. Kaum Baratlah pendidik dunia, pemegang obor sejarah, dan pemangkin kemajuan. Semua cogan kata ini adalah nyiru untuk menutup bangkai kerakusan mereka yang begitu besar, menjarah hasil bumi negeri asing.
Kesedaran sejarah beginilah yang tidak wujud pada zaman Homer atau sebelumnya, menjadikan dialog Telemachus itu begitu janggal. Tentu saja pada waktu itu Telemachus memahami dirinya sebagai orang Greek. Tetapi identiti Greek hanyalah suatu kebudayaan longgar yang dikongsi pelbagai umat penutur lingua franca itu seperti Sparta, Athens, dan Ionia. Orang Ithaca melihat diri mereka sebagai orang Ithaca, bukan Greek dalam pengertian politik kebangsaan. Bahkan identiti Greek yang dipadankan dengan lawannya Gasar juga tidak stabil. Munson menulis dalam Telling Wonders (2001), walaupun Herodotus dan Thucydides sering mengelaskan manusia kepada dua, mereka juga berdepan masalah untuk konsisten dengan pemisahan mutlak antara Greek dan Gasar. Ketika mereka menggunakan istilah penyatuan Greek, apabila diselidik lebih dalam, istilah itu runtuh berikutan percanggahan dalamannya yang besar.
Kejanggalan juga terngiang-ngiang dalam dialog Odysseus di penghujung filem, “Zaman Gangsa kita semakin merudum”. Ucapan ini adalah anakronistik. Pembahagian sejarah kepada ‘zaman’ tertentu adalah hasil kerja pensejarahan moden* yang cuma timbul sekitar abad ke-14 masihi. Bahkan, pembahagian sejarah adalah natijah ideologi yang membelenggu nalar sejarawan itu sama ada sedar atau tidak sedar.
Tetapi persoalan yang lebih penting, mengapa Nolan menerapkan elemen anakronisme dalam filem ini?
ANAKRONISME SEBAGAI PROPAGANDA
Penghujung abad ke-13 SM, sekitar Perang Trojan itu, kerajaan-kerajaan yang maju pada Zaman Gangsa seperti Hittite dan Mycenaea telah jatuh satu per satu. Keadaan ini tidak dapat dipastikan sebabnya, tetapi teori yang dikemukakan oleh sejarawan rata-rata mengambil kira banyak faktor seperti bencana alam, penghijrahan besar-besaran, dan jalan dagang yang terputus. Tetapi tafsiran moden terhadap Odyssey selalu mengaitkan babak ancaman Orang Laut dengan kehancuran tersebut. Nolan menerima tafsiran tunggal ini, dan persis kebanyakan pembaca moden, mengaitkan kemenangan Greek ke atas Troy, dan perjalanan pulang Odysseus sebagai bencana sebenar yang dimomokkan menjadi “kedatangan Orang Laut”.
Perjalanan pulang Odysseus tidak lancar. Sebelum bertemu pelbagai malapetaka di laut kerana sumpahan Poseidon pun, bala tentera Odysseus telah berdepan dengan masalah bekalan pelayaran. Jalan keluarnya? Mereka menyerang dan merampas hasil ternak-tuai dari kota Ismarus. Dan begitulah seterusnya sepanjang perjalanan itu, mereka menyerang atau diserang pelbagai makhluk luar biasa. Rombongan Odysseus menewaskan Polyphemus, bertempur dengan Orang Laestrygonia, dan melewati genting Charybdis antara lainnya. Makhluk-makhluk ini dilihat sebagai perumpamaan dan perwakilan simbolik kepada kerajaan-kerajaan lain yang runtuh dilanggar “Orang Laut” sepanjang tempoh 10 tahun tersebut.
Tetapi Nolan menggunakan tafsiran ini sebagai kenderaan untuk mesej dan propaganda kepada audiens moden hari ini. Odysseus dalam puisi Homer yang licik dan perkasa bertukar menjadi seorang veteran perang yang trauma dan hilang kepercayaan diri. Bahkan Odysseus telah hilang kepercayaan terhadap ketamadunan mereka sendiri, Zaman Gangsa yang merudum, kerana telah melanggar kod etika xenia yang lebih mirip kepada etos Kristian: berbuatlah kebaikan seperti yang kita mahukan kepada diri sendiri. Kemenangan orang Greek adalah hasil penipuan, dan Odysseus dalam perjalanan pulangnya melakukan begitu banyak kerosakan. Sebenarnya, merekalah “Orang Laut” yang menakutkan itu.
Nolan memaksa muhasabah ini secara didaktik lewat dialog anakronistik Telemachus dan Odysseus. Menyelami psyche watak-watak tersebut, penonton diaruh kepada muhasabah kendiri. Mesej 'ketamadunan kita’ dan ‘era kegemilangan kita’ sekali imbas menggemakan cakap-cakap golongan sayap kanan yang berteraskan politik identiti di Negeri-Negeri Barat, khususnya Amerika Syarikat. Tetapi Nolan adalah seorang woke. Lihat sajalah barisan pelakonnya yang menjadi kecaman sejak awal penggambaran. Hampir mustahil dia melihat kecairan gender atau kepelbagaian kaum sebagai peluntur ketamadunan. Keseluruhan citra dan ragam filem The Odyssey yang menjungkir balik logik asal puisi Homer, sehingga Odysseus kelihatan begitu kerdil dan hilang megah, telah memberi isyarat propaganda antiperang Nolan. Bahkan perang dikaitkan dengan keruduman tamadun dan pengakhiran era kegemilangan.
Selepas Perang Dunia Ke-2, Amerika Syarikat selaku jaguhnya, dek teknologi persenjataan dan kuasa ekonomi, telah mengambil posisi pemimpin de facto untuk rehabilitasi dunia dalam imejnya. Ia menjamin keselamatan di Eropah Barat dengan perjanjian NATO, mengekang kemaraan komunisme Mao Zedong dengan pemulihan Jepun dan campur tangan Perang Korea, menggalakkan hubungan multilateral dunia melalui pelbagai institusi Bretton Woods seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN).
Hakikatnya, tatanan dunia berasaskan undang-undang liberal dicipta daripada kekuasaan Amerika dan demi kekuasaan Amerika. Tetapi kerap kali tindak-tanduk Amerika khususnya berkaitan polisi luarnya yang didorong doktrin tertentu seringkali melanggar undang-undang yang ia sendiri bina dahulunya. Ini telah menghakis keyakinan masyarakat dunia terhadap tatanan ala Amerika ini. Doktrin Truman 1947 menyokong pembebasan daripada Soviet menjadi Doktrin Reagan 1985 yang mendanai puak pemberontak sehingga menimbulkan terorisme yang direspon oleh Bush dengan War on Terror sebagai fasad untuk mengebom Iraq sehingga keseluruhan rantau Asia Barat tidak stabil lagi. Natijahnya adalah siri peperangan dalaman dan kejatuhan rejim. Lebih parah lagi apabila Presiden Trump kini dengan polisi diplomasi tekanannya telah menghakis kesetiaan sekutu-sekutu Amerika. Kegagalan Trump berkali-kali dalam siri tempurnya dengan Iran sehingga menjejaskan ekonomi dunia apabila gagal mengawal Selat Hormuz turut memberi tamparan yang lebih hebat kepada negara Pakcik Sam ini.
Dalam konteks inilah kritikan Nolan dan mesej antiperangnya perlu dihayati. Jika Dunkirk menyelami trauma dan psikologi pelaku di medan perang dan Oppenheimer membawa keresahan eksistensial tentang kehancuran fizikal dunia, The Odyssey membawa dimensi antiperang yang lain pula dengan keruduman ketamadunan apabila perang telah memungkiri xenia atau tatanan undang-undang dunia.
*Nota akhir: Wujud juga pembahagian sejarah mengikut zaman dalam pensejarahan Hesiod kepada Emas, Gangsa, Kepahlawanan, Besi. Tetapi jelasnya Nolan tidak merujuk pembahagian ini dan meletakkan zaman Odysseus dalam Zaman Kepahlawanan.







