Oleh Sarip
Ilustrasi Muizzah
Barangkali tidak keterlaluan untuk kita sebut Orang Melayu lebih meraikan Hari Raya berbanding Ramadan. Jika kita telusuri kebudayaan popular, bermula 1940-an kebanyakan lagu Aidilfitri berkisarkan Hari Raya itu sendiri.
Hari Raya yang di perdunya adalah ibadah, tumbuh bercabang sepanjang kedewasaan orang Melayu dan buah kerohaniannya yang manis ditebuk makna-makna yang hadir mencabar. Walaupun makna bercambah daripada benih kerohanian, ia tetap memerlukan realiti sebagai tapak semaian. Kemajmukan masyarakat menumbuhkan makna yang terzahir berbeza dan kemudian lentur dihimpit kehidupan dan zaman. Makna sentiasa mencari ruang bertumbuh dan berbuah, yang kita tuai hasilnya sebagai budaya. Kebudayaan inilah, seperti Lagu Raya, memberi kita petunjuk perubahan dalam makna Hari Raya.
Unsur kerohanian dalam mesej Hari Raya mulanya jelas terpapar dalam lagu-lagu yang terbit sekitar zaman kemerdekaan. Ketika ini, konsep Tanah Melayu sebagai persekutuan dan entiti politik yang asing daripada Gugusan Kepulauan Melayu masih belum nyata. Justeru Lagu Raya menjadi kepunyaan bersama merentas Selat Melaka dan Selat Tebrau. Lagu Raya dikatakan pertama kali dirakam pada 1936, berjudul Selamat Hari Raya oleh Miss Aminah (Hafizan Mohd, ELLE Music: Evolusi Lagu Raya). Seni katanya ringkas tetapi sarat unsur akhirat dengan ungkapan dosa, azab, dan Rabbul Ilahi.
paling utama sesama manusia
umpat puji sudah terbanyak, ampun dan maaf
sekarang diminta supayalah azab kubur
hai janganlah menyesak
selamatlah kita di akhiratNya kelak
Begitu juga lagu Selamat Aidil Fitri nyanyian duet Nona Asiah dengan Kamsani Saat, dirakam pada 1950-an dan dirakam semula oleh Sanisah Huri pada 1979. Liriknya juga masih sarat unsur spiritual dalam memancarkan potret Aidilfitri yang penuh keagamaan:
sembahyang hari raya bersama-sama
tafakur dengar khutbah alim ulama
sujud dan bertaubat kepada Tuhan
muslimin dan muslimat bermaaf-maafan
Ibadah khusus yang disunatkan pada Hari Raya ialah laungan takbir untuk mengagungkan dan membesarkan Allah SWT. Lagu ikonik, Suara Takbir nyanyian P. Ramlee (1955) merakamkan hal ini dengan menjadikan teras mesejnya ‘berbakti kepada Ilahi’ dengan puji-pujian kepada Tuhan. Lagu ini telah dirakam semula oleh Siti Nurhaliza dengan tajuk yang sama pada 2003.
Walaupun begitu, sejak awal lagi telah wujud jalur pendekatan Lagu Raya yang lebih memberi perhatian kepada gambaran suasana keraian. Lagu Selamat Hari Raya oleh Saloma dirakam sekitar tahun yang sama dengan Selamat Aidil Fitri, namun segala unsur keagamaan luput daripada seni katanya. Tinggal saja sebutan Ramadan yang sekadar menjadi pendahuluan kepada Hari Raya atau sebab untuk bersuka ria pada hari tersebut.
Sekitar 1970-an lagu Saloma ini telah menjadi kontroversi akhbar selama beberapa tahun berikutan pembukaan liriknya yang menyebut tentang mercun walaupun permainan itu diharamkan oleh kerajaan. Bermula daripada sepucuk surat, lagu ini terpaksa diolah semula untuk memenuhi kritikan tersebut. Kontroversi ini menyemarakkan lagi kesohoran lagu Saloma sehingga dijuluk beberapa kali di dada akhbar sebagai ‘lambang rasmi Hari Raya’ atau ‘Christmas Carol Orang Islam’, (Mohd Faizal Musa, Lagu Saloma Haram) menjadikannya ibu segala Lagu Raya beberapa dekad ini. Lagu beracuan suasana girang dan sambutan meriah menjadi ikutan, dan pupus elemen kerohanian atau sekadar menjadi selingan.
Barangkali lagu Salam Lebaran nukilan Ismail Marzuki nyanyian Suyoso Karsono (1954) boleh memberi sedikit gambaran penyebab lagu ala Saloma mendapat sambutan perdana. Ismail Marzuki mengambil pendekatan sinikal mengkritik budaya sosial Orang Melayu pada waktu itu seperti judi, mabuk, dan keganasan rumah tangga.
cara orang kota berlebaran lain lagi
kesempatan ini dipakai buat berjudi
sehari semalam main ceki mabuk brandi
pulang sempoyongan kalah main pukul isteri
Gambaran masyarakat Melayu pada era ini yang larut dalam hedonisme turut digemakan dalam filem muzikal antologi komedi Ragam P. Ramlee, menayangkan orang Melayu yang kuat berjudi. Bahkan lebih menarik lagi, filem ini terbit pada 2 Disember 1964, sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.
Lagu Salam Lebaran karya Ismail Marzuki itu turut mengkritik pemerintah melalui mesej anti-korupsi dalam seni katanya yang bersahaja, ‘kondangan boleh kurangin, korupsi jangan kerjain’. Lagu ini kemudian dinyanyikan semula oleh beberapa artis seperti M. Ramlee (Hari Lebaran, 1977), Sharifah Aini (Minal Aidil Wal Faizin, 1999) dan terakhir Gita Gutawa (Idul Fitri, 2010). Tetapi semua rakaman semula ini mengalami perubahan lirik yang besar: mereka menggugurkan kritikan tajam dan hanya mengekalkan baris muluk iaitu ‘selamat para pemimpin, rakyatnya makmur terjamin’.
Budaya intelektual dan seni yang mengkritik sosial terus berkembang dalam genre lain, khususnya rock dan folk pop lewat 80-an. Tetapi dalam lapangan Lagu Raya, ia berubah wajah menjadi bingkisan hati golongan rentan. Lagu seperti Manusia Miskin Kaya nyanyian Nona Asiah (1953) menjadi yang terawal merakam perasan orang miskin di Hari Raya. Lagu S. M. Al Idrus, Yatim Piatu Di Hari Raya dan lagu Sharifah Aini, Hari Yang Mulia terbit pada 1979 juga bertema sama.
Lagu Cahaya Aidilfitri nyanyian Black Dog Bone (1981) dan lagu Masih Ada Yang Sayang Padamu nyanyian Noraniza Idris (1997), barangkali antara lagu terakhir yang mengetengahkan tema kesukaran sekelompok masyarakat sebagai topik utama dalam Lagu Raya. Setelah itu perhatian dalam Lagu Raya tidak lagi menumpukan isu-isu masyarakat daif melainkan sekadar selingan dalam lagu-lagu yang merakam kegembiraan berhari raya.
Budaya saling bermaafan juga dapat kita simpulkan sebagai sebahagian daripada keunikan sambutan syiar agama Islam di Kepulauan Melayu. Kononnya, budaya bermaafan dipelopori oleh seorang Wali Songo bernama Sunan Kalijaga, yang pertama kali memperkenalkan ketupat sebagai makanan khas Hari Raya. Ketupat turut membawa makna Ngaku Lepat atau mengakui kesalahan dalam bahasa Jawa. Unsur penting bagi menjayakan budaya bermaafan ini adalah budaya kunjung-mengunjung. Kesemua elemen ini berulang-ulang sejak awal rakaman Lagu Raya, contohnya lagu Selamat Hari Raya oleh Miss Aminah (1936).
Budaya bermaafan dan semangat kunjung-mengunjung kemudiannya menjadi paksi kepada budaya baru iaitu ‘balik kampung’. Ini telah mengubah lanskap Lagu Raya pasca 1970-an. Masyarakat Melayu terutamanya golongan belia, berpindah dan menetap di kota raya bagi menyertai sektor korporat dan perniagaan moden. Era ini telah menimbulkan tema kerinduan kepada desa dan keinginan membuak-buak warga bandar untuk pulang menjenguk kampung halaman. Lagu Dendang Perantau nyanyian P. Ramlee (1953) telah membawa nada duka seorang perantau yang tidak dapat pulang, manakala S. Jibeng dengan lagunya Musafir di Aidilfitri (1967) merakam rasa keterasingan di perantauan, bahkan keterasingan eksistensial apabila hilang tempat bergantung berikutan kematian ibu bapa.
Bapa syair melayu, Hamzah Fansuri, telah merakam tradisi merantau orang Melayu dalam syair autobiografinya, Syair Dagang sejak abad ke-16 lagi. Tetapi eksodus ke bandar adalah episod moden dalam sejarah orang Melayu di negara ini, dipacu pembandaran pesat hasil Dasar Ekonomi Baru. Lagu Sudirman Balik Kampung (1984), walaupun bukan asal ciptaannya sebagai Lagu Raya, sangat menangkap semangat nostalgia kepada kampung dalam masyarakat muda Melayu yang berhijrah ke bandar. Lagu ini menjadi antem perjalanan pulang sampai hari ini, sama seperti lagu Pulang Di Hari Raya nyanyian Noorkumalasari (1982) dan lagu Indahnya Beraya Di Desa nyanyian Azlina Aziz (1990). Lagu Aman Shah, Kepulangan Yang Dinanti (terbit 1980-an) dan Senandung Hari Raya Untukmu nyanyian Dayangku Intan (terbit 1990-an) menjadi sohor di media sosial dalam bentuk meme mutakhir ini.
Hakikatnya fenomena bentuk Lagu Raya dan makna Hari Raya adalah lebih kompleks daripada naratif selanjar di atas. Begitu pun, lewat Revolusi Iran akhir 70-an, semangat kebangkitan Islam meriak dan menyentuh kesedaran kemelayuan di negara ini. Ekonomi moral yang masih berbaki dalam seluk kecil masyarakat mula mengambil pentas perdana dan kembali membanjiri kebudayaan popular dengan mesej Islam dan kerohanian yang lebih kental. Malah sekitar tahun 1970-an, Ramadan tidak lagi menumpang Lagu Raya kerana kebangkitan muzik keagamaan dan nasyid Islamik (Sakrie, 100 Tahun Musik Indonesia). Kumpulan Al-Mizan (Selamat Berhari Raya, 1978), Al-Jawaher (Selamat Hari Raya, 1981) dan Nada Murni (Fitrah Hari Raya, 1994) menjadi pelopor kepada Nasyid Hari Raya di negara ini sebelum diteruskan oleh generasi terkemudian yang mencapai kemuncak populariti mereka sekitar tahun 2000-an. Semangat dan roh kebangkitan Islam ini juga mengalami terjemahan bentuk lain apabila nilai Islamik diserap dalam genre irama Melayu yang turut cemerlang sepanjang tempoh yang sama.
Berdasarkan tinjauan sekilas lagu-lagu yang terarkib di laman maya, irama Melayu pertama kali didendangkan dalam Lagu Raya adalah Mak Inang Pulau Kampai (Sharifah Aini, 1974). Lagu ini turut dibawa Sudirman pada 1993 dengan seni kata berbeza. Pada tahun 1975, Saloma membawa lagu Kain Songket dan Sanisah Huri membawa lagu Joget Aidil Fitri. Dua tahun kemudian Uji Rashid dan Hail Amir berduet dalam lagu Seloka Hari Raya.
Walaupun lagu-lagu irama Melayu dan bertemakan seloka terus dikeluarkan, penyerapan nilai Islamik lebih menyerlah menjelang 1990-an, misalnya melalui lagu-lagu Siti Nurhaliza seperti Sesuci Lebaran (1997) dan Nazam Lebaran (2001), juga lagu nyanyian bersama Noraniza Idris berjudul Nikmat Hari Raya (1999). Tema irama Melayu melalui era gerhana sehingga kategori itu tidak lagi dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) selepas 2008 kerana tandus permintaan. Lagu Raya berirama Melayu muncul kembali melalui duet Ernie Zakri dan Syamel dalam Zapin Lebaran (2020) dan Serumpun (Mimifly, 2025). Walau bagaimanapun, gubahan muziknya lebih moden, seni kata lagunya kurang imejan pastoral melayu dan tiada unsur Islamik yang kental seperti era kegemilangannya sebelum ini.
Kita dapat melihat perubahan makna Hari Raya yang disorot Lagu Raya. Bermula sebagai hari kemuliaan penuh spiritual dan ibadah, unsur tersebut dimamah jalur Lagu Raya yang lebih menekankan kegembiraan dan keraian kebudayaan. Kebudayaan ini adalah unik identiti Melayu yang tidak jelas dalam pengamalan Umat Islam lain, misalnya budaya bermaafan dan berkunjungan.
Unsur lain yang berulang-ulang dalam Lagu Raya juga adalah dampingan Ramadan dan puasa dengan konsep hari raya. Ramadan menjadi selitan dalam Lagu Raya sebagai pendahuluan temporal, atau suatu yang memberi sebab kukuh untuk merayakan kerana penat, letih, dan lapar berpuasa selama sebulan. Ini dapat menjelaskan mengapa etos orang Melayu terhadap Aidilfitri adalah beberapa kali ganda lebih meriah berbanding Aidiladha, walaupun secara fiqhnya, Aidiladha lebih utama dalam Islam. Ini juga boleh menjelaskan konsep ‘Raya Puasa Enam' yang selalu disebut sebagai tanda telah mengakhiri sunnah berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Hari Raya yang disinonimkan dengan bulan Syawal, bermula 1 Syawal Hari Raya Pertama sehingga pengakhiran bulan, barangkali menjadi pemula konsep Hari Raya orang Melayu yang melebihkan Aidilfitri. Tidak dapat dipastikan zaman perluasan konsep ini menyusup masuk dalam kesedaran orang Melayu, tetapi ia dirakam dalam lagu-lagu seperti Indahnya Beraya Di Desa nyanyian Azlina Aziz seawal 1990 dan semakin kerap berulang belakangan ini seperti dalam lagu Raya Raya Raya nyanyian kumpulan Dolla (2021), Gema Raya (Aina Abdul, 2022), dan Sebulan Raya (Bunga, 2025) antara lainnya.
Seharusnya Orang Melayu telah jelas bahawa Hari Raya selepas 1 Syawal itu tidak sah di sisi agama. Ia cuma adat dan kebudayaan sahaja - bukan lagi ritual dan spiritual. Oleh itu, tidak hairan jika aspek ini disisihkan dan pada ruang hampa itu, diisi unsur kebudayaan yang lebih neutral agama. Ini menjadi matawang untuk mengedepankan perayaan ini sebagai wadah penyatuan bangsa majmuk di Malaysia. Konsep rumah terbuka yang mengangkat nilai kegembiraan, keraian dan muhibbah menjadi sinonim dengan Hari Raya dan dilanjutkan sehingga penghujung Syawal, bahkan Zulkaedah. Jelasnya, Hari Raya berubah daripada pembentukan kolektif kemelayuan moden menjadi wadah penyatuan masyarakat berbilang bangsa.
Hari Raya dan Lagu Raya juga menjadi pantulan kepada perubahan fabrik sosial melayu dengan peningkatan penghijrahan ke bandar dan perluasan kelas menengah melayu yang memberikan lebih kuasa beli. Seni kata yang diulang saban tahun yang menggalakkan perbelanjaan untuk persalinan baru di Hari Raya telah mencetuskan fenomena perniagaan baju raya yang meletus dahsyat 10 tahun terakhir ini. Walaupun perusahaan baju raya sangat bermusim, budaya pempengaruh dan media sosial menjadi pemangkin perluasan pasaran dan pemasarannya.
Jenama-jenama baru tumbuh dengan tawaran hebat, dan masyarakat berpusu-pusu mendapatkan set pakaian baru setiap kali Aidilfitri. Hari Raya yang gersang spiritual, kini dijangkiti kapitalisme, dan menjadi korban konsumerisme. Berikutan itu, Lagu Raya yang mengorbit kebudayaan Hari Raya, menjadi medan modal sosial (social capital) yang sangat penting untuk memberkas perhatian massa demi mengaruh jualan dan membina jenama peribadi. Petua mujarab untuk kekal relevan dalam kebisingan dunia begini adalah mempamerkan faktor memukau atau kejutan yang memegunkan masyarakat. Semakin luar biasa, semakin terpegun, dan semakin menjadi sebutan. Maka banyaklah syarikat perniagaan melabur dalam rakaman lagu raya. Peniaga melayu sederhana besar seperti Dato’ Aliff Syukri dan Dato’ Seri Vida berlumba-lumba untuk menghasilkan Lagu Raya yang tular. Bahkan keterdesakan sesetengah pencipta kandungan untuk menjadi tular turut membawa kepada lagak tidak senonoh dalam rakaman video dan lagu mereka sehingga menimbulkan keresahan awam dan membawa kepada pendakwaan undang-undang.
Masih banyak yang dapat diperkatakan tentang korpus lagu raya di Malaysia yang tidak mampu dikepung analisis sederhana dalam tulisan ini. Namun, lakaran kasar perubahan makna Hari Raya cukup jelas untuk mengingatkan kita bahawa jika tidak digenggam dengan geraham, maka terurailah satu persatu ikatan agama dan kerohanian.








