The Odyssey: Jarak paling jauh sebenarnya mencari jalan pulang

3 Ogos 2026, 3:00 AM
The Odyssey: Jarak paling jauh sebenarnya mencari jalan pulang

Hari ini, di hadapan skrin IMAX Laser GSC IOI Mall Damansara (Tropicana Gardens), saya menyedari satu perkara.

Christopher Nolan tidak sekadar menghasilkan sebuah filem. Beliau mentafsirkan semula puisi epik The Odyssey karya Homer dengan bahasa sinema moden, sehingga terasa begitu dekat dengan kehidupan kita hari ini.

Saya memilih menonton di IOI Mall Damansara kerana ingin merasai sendiri pengalaman IMAX Laser yang baharu diperkenalkan di Malaysia. Ternyata ia tidak mengecewakan.

Selama hampir tiga jam, perhatian saya tidak pernah teralih. Visualnya mengagumkan, reka bentuk bunyinya menguasai ruang, tetapi yang benar-benar melekat dalam ingatan ialah makna di sebalik kisah yang dipaparkan.

Dari sudut teknikal, filem ini sekali lagi membuktikan mengapa Christopher Nolan dianggap antara pengarah terbaik dunia. Dengan bajet sekitar USD250 juta, ia merupakan filem paling mahal sepanjang kerjayanya.

Lebih menarik, keseluruhan filem dirakam menggunakan kamera IMAX 70mm generasi baharu yang dibangunkan khas untuk produksi ini. Kamera tersebut lebih ringan dan lebih senyap, membolehkan Nolan merakam setiap babak dalam format IMAX sepenuhnya.

Ada satu peribahasa Melayu yang berbunyi, "Setinggi mana pun terbang bangau, akhirnya pulang ke belakang kerbau."

Semasa kecil, kita mungkin menganggapnya sekadar cerita tentang perantau yang merindui kampung halaman. Namun apabila usia semakin bertambah, kita mula memahami bahawa makna rindu kampung halaman itu jauh lebih luas dan mendalam.

Setinggi mana pun kita mengejar kejayaan, akhirnya setiap manusia tetap mencari jalan untuk pulang. Pulang kepada keluarga besar, kepada ketenangan jiwa dan yang paling sukar, pulang kepada diri sendiri.

Itulah inti pati sebenar The Odyssey.

Selepas sepuluh tahun memimpin Perang Trojan, Odysseus sepatutnya pulang sebagai seorang wira. Namun perjalanan pulangnya mengambil masa hampir sedekad lagi.

Dia berdepan pelbagai ujian, daripada Cyclops, Siren, Circe hinggalah Calypso. Di rumah pula, isterinya Penelope terus setia menunggu, manakala anaknya, Telemachus, membesar tanpa kehadiran seorang ayah.

Dalam tafsiran Nolan, raksasa-raksasa itu bukanlah musuh sebenar Odysseus.

Musuh yang paling sukar ditumpaskan ialah rasa bersalah yang dipikulnya sendiri.

Sedikit demi sedikit, penonton memahami bahawa kemenangan yang mengangkat namanya sebagai legenda juga meninggalkan luka yang tidak pernah benar-benar sembuh. Dia pulang bukan sekadar membawa gelaran seorang pahlawan, tetapi juga beban hati yang menghantuinya selama bertahun-tahun.

Pendekatan ini menjadikan The Odyssey lebih bersifat psikologi berbanding sekadar filem pengembaraan. Ia bukan hanya tentang perjalanan pulang secara fizikal, tetapi juga perjalanan seorang manusia berdamai dengan dosa dan masa lalunya.

Bukankah ramai antara kita menghabiskan usia mengejar pangkat, harta dan nama? Namun apabila semua itu diperoleh, kita mula menyedari bahawa ada harga yang telah dibayar seperti hilangnya masa bersama keluarga, hubungan yang semakin renggang dan ketenangan yang perlahan-lahan hilang.

Kadangkala perjalanan yang paling sukar bukanlah untuk mencapai kejayaan sebaliknya, perjalanan untuk kembali menjadi manusia yang pernah kita kenali.

Sebab itu saya tidak melihat The Odyssey sekadar sebuah filem tentang peperangan atau mitologi Yunani. Saya melihatnya sebagai kisah tentang seorang suami yang ingin kembali kepada isterinya, seorang ayah yang mahu menebus masa bersama anaknya dan seorang manusia yang akhirnya berani berdamai dengan masa silamnya.

Barisan pelakonnya juga mengagumkan. Matt Damon bintang utama filem ini dengan disokong Anne Hathaway, Tom Holland, Robert Pattinson, Charlize Theron, Zendaya dan Lupita Nyong'o. Walaupun sebahagian daripada mereka muncul dalam tempoh yang singkat, Nolan sengaja meletakkan tumpuan kepada perjalanan emosi Odysseus.

Watak-watak lain hadir sebagai serpihan memori yang membentuk perjalanan batinnya, bukan sekadar melengkapkan naratif.

Sudah tentu, filem ini tidak terlepas daripada kontroversi. Ada yang berpendapat Nolan terlalu bebas mentafsir karya Homer, mengurangkan peranan dewa-dewi serta mengubah beberapa watak penting. Namun persoalan yang lebih menarik ialah, adakah setiap adaptasi perlu terikat sepenuhnya kepada karya asal?

Pada pandangan saya, tidak.

Sebuah karya agung terus hidup kerana setiap zaman akan membacanya dengan cara yang berbeza. Kita sendiri melihat bagaimana Hang Tuah terus ditafsir daripada pelbagai sudut, sebagai lambang kesetiaan, simbol kepahlawanan atau mangsa sistem feudal. Perbezaan tafsiran itulah yang memastikan sesebuah karya terus relevan.

Begitu juga The Odyssey. Christopher Nolan tidak cuba menggantikan Homer. Beliau sekadar menceritakan semula sebuah kisah lama dengan bahasa sinema abad ke-21.

Mungkin sebab itulah filem ini masih mampu menyentuh penonton hari ini. Zaman berubah. Teknologi berubah. Cara manusia bercerita juga berubah. Namun hati manusia tidak pernah berubah. Kita semua sedang melalui perjalanan yang sama, mencari jalan pulang.

Dan dalam budaya Melayu, kita sudah lama memahami bahawa rumah bukan sekadar sebuah bangunan, rumah ialah tempat hati akhirnya berhenti mencari.

Akhirnya, The Odyssey bukanlah filem Christopher Nolan yang paling mudah difahami, tetapi ia antara karya beliau yang paling matang dari segi emosi. Ia mungkin tidak memuaskan semua peminat Homer, namun sebagai sebuah adaptasi moden, filem ini berjaya menghidupkan semula kisah klasik yang telah bertahan ribuan tahun.

Jika berpeluang, filem ini memang wajar ditonton di pawagam IMAX untuk menikmati sepenuhnya skala visual yang menjadi kekuatan utamanya.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.