SABAK BERNAM, 9 OGOS: Setiap pembangunan Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan akan dilengkapi sekurang-kurangnya satu hentian bas bagi memastikan penghuni mempunyai akses mudah kepada pengangkutan awam.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata kemudahan itu penting terutama bagi pembangunan yang mempunyai jumlah unit kediaman yang tinggi, selain dapat menggalakkan penghuni menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja dan destinasi lain.
Katanya, penyediaan hentian bas yang selesa dan terlindung daripada cuaca juga merupakan sebahagian daripada kemudahan asas yang perlu diberi perhatian dalam pembangunan perumahan mampu milik.

“Ini satu usaha yang baik kerana apabila penempatan Rumah Selangorku dalam suatu taman itu sudah tentu mempunyai bilangan rumah yang begitu banyak dan kita menggalakkan mereka menggunakan kenderaan awam.
“Jadi kalau tidak ada fasiliti, tidak menyediakan seperti bus stop untuk mereka lalu tanpa kena hujan mungkin ini menyebabkan impak untuk memudahkan mereka ke tempat kerja atau ke mana juga perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Warisan di Dapur Menyatukan Rasa Masakan Jawa, Banjar dan Bugis peringkat daerah Sabak Bernam di Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, di sini semalam.
Kelmarin, ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Dewan Negeri Selangor, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Kerajaan Negeri akan mewajibkan sekurang-kurangnya satu hentian bas di setiap kawasan Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan.
Langkah itu bertujuan memastikan pemilik rumah mampu milik turut mendapat akses kepada pengangkutan awam, sekali gus menyokong usaha memperluas penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan masyarakat.
Dalam perkembangan berkaitan, Borhan berkata Kerajaan Negeri turut mengenal pasti beberapa lokasi untuk menambah unit rumah sewa di bawah Skim Smart Sewa.

“Kita sudah kenal pasti lokasi dan akan bentangkan untuk beri keutamaan kawasan mana dahulu seperti rumah mampu milik dan pangsa murah,” katanya.
Kelmarin, Amirudin turut memaklumkan Kerajaan Negeri menyasarkan jumlah unit rumah sewa di bawah Skim Smart Sewa ditingkatkan kepada 3,000 unit menjelang 2030, khususnya bagi golongan yang masih belum mampu mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan.







