KUALA LANGAT, 21 OGOS: Sebanyak 87,037 unit Rumah Selangorku (RSKU) menerusi 235 projek telah siap dibina dan sedang dilaksanakan di seluruh Selangor setakat 15 Jun lalu.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata pencapaian itu meletakkan pelaksanaan RSKU pada landasan tepat bagi mencapai sasaran penyediaan 200,000 unit menjelang 31 Disember 2028.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan agenda perumahan tidak boleh diukur berdasarkan jumlah kelulusan semata-mata, sebaliknya projek yang diluluskan perlu dibina dan disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Bagi saya, kejayaan sebenar hanya dapat dilihat apabila projek yang diluluskan dapat dibangunkan, disiapkan mengikut tempoh, mempunyai kualiti yang baik dan akhirnya kunci rumah dapat diserahkan kepada pembeli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rumah Contoh Adiwarna di Kota Seri Langat, di sini hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Negeri kini bukan sahaja memberi tumpuan kepada peningkatan penawaran rumah mampu milik, malah memperkukuh aspek pelaksanaan, pemantauan dan penyampaian.
Borhan berkata penawaran RSKU juga perlu disesuaikan dengan kemampuan serta keutamaan pembeli setempat, termasuk kecenderungan terhadap kediaman jenis bertanah.
Katanya, rumah berharga di bawah RM250,000 perlu diberi perhatian, khususnya bagi penduduk luar bandar berpendapatan kurang RM3,000 sebulan.
“Rumah mampu milik tidak seharusnya hanya memenuhi keperluan minimum, sebaliknya rakyat berhak menikmati kediaman berkualiti dengan pengudaraan dan pencahayaan baik, ruang praktikal serta persekitaran yang selesa dan selamat,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan inovasi pemaju bagi meningkatkan aspek kebolehdiaman tanpa menyebabkan harga rumah berada di luar kemampuan kumpulan sasaran.
Pada masa sama, katanya, pembangunan perumahan perlu disokong kemudahan awam, infrastruktur, jaringan pengangkutan dan ruang komuniti yang bersesuaian bagi membentuk kawasan kediaman berdaya huni.
Dalam pada itu, Borhan berkata projek perumahan bermasalah tidak boleh dibiarkan tanpa usaha penyelesaian, termasuk projek Morib Bay di Kuala Langat, bagi memastikan kepentingan pembeli terus terbela.
Katanya, perkembangan positif dilihat apabila pemaju penyelamat, Masteron, mengambil alih pembangunan daripada Sentoria pada 30 Januari lalu sebagai langkah memulihkan projek berkenaan.
“Kerajaan Negeri mahu melihat projek ini bergerak ke hadapan dan paling penting, kepentingan pembeli yang telah lama menunggu terus diberi perhatian.
“Saya percaya dengan kerjasama semua pihak termasuk PNB, pemaju, pemilik tanah dan agensi berkaitan, kita dapat mencari jalan konstruktif untuk membawa perkara ini ke arah penyelesaian,” katanya.









