Selangor selaras usaha bersama syarikat penyelamat siapkan Rumah Selangorku Morib

9 Nov 2026, 6:44 AM
Selangor selaras usaha bersama syarikat penyelamat siapkan Rumah Selangorku Morib

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri mendapatkan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku pemilik tanah, bagi meneruskan usaha menyelamatkan projek Rumah Selangorku Morib di Kuala Langat yang terbengkalai.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan terus menyelaras tindakan bersama pihak berkaitan, termasuk PNB dan pemaju penyelamat yang dilantik bagi mencari penyelesaian terhadap projek tersebut.

Beliau berkata pihaknya baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda bagi membincangkan usaha untuk meneruskan pembangunan perumahan tersebut.

“Pertemuan ini merupakan antara usaha Kerajaan Negeri agar pihak PNB dapat terus memberikan perhatian dan keutamaan kepada usaha penyelesaian isu Projek Rumah Selangorku Morib.

“Saya berpandangan bahawa isu projek perumahan terbengkalai tidak boleh diselesaikan dengan hanya saling menuding jari, sebaliknya memerlukan kesediaan semua pihak berkepentingan untuk duduk semeja, berbincang secara terbuka dan mencari titik persetujuan,” katanya di Facebook.

Beliau berharap usaha berterusan itu dapat membuka ruang kepada penyelesaian yang dinantikan pembeli projek berkenaan.

Jun lalu, Borhan memaklumkan Kerajaan Negeri meluluskan pelantikan pemaju baharu sebagai penyelamat bagi meneruskan pembangunan projek itu selepas pemaju asal gulung tikar.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk mencari penyelesaian terhadap isu projek berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 500 pembeli terpaksa menunggu sejak 2020 untuk memiliki rumah sendiri. Projek pangsapuri 17 tingkat itu tidak dapat disiapkan mengikut jadual selepas pemaju asal berdepan masalah.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.