SHAH ALAM, 8 OGOS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan dua titik panas (hotspot) di Selangor ketika kualiti udara di beberapa kawasan negara mula terjejas susulan pergerakan asap jerebu rentas sempadan.
Berdasarkan kenyataan JAS hari ini, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) pada 7 Ogos merekodkan 25 titik panas di Malaysia, melibatkan 22 di Sarawak, dua di Selangor dan satu di Terengganu.
Pada masa sama, 643 titik panas dikesan di Kalimantan dan 17 lagi di Sumatera, yang dikenal pasti antara punca pergerakan asap jerebu ke rantau ini.
Setakat jam 8 pagi ini, JAS memaklumkan tiga kawasan mencatat kualiti udara baik, 60 kawasan sederhana dan lima kawasan berada pada tahap tidak sihat, semuanya di Sarawak.
Lima kawasan berkenaan ialah IPD Serian (IPU 171), Kuching (154), Samarahan (154), Sri Aman (139) dan Bintulu (124).
"JAS telah meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka.
"Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan semua agensi berkaitan," menurut JAS.
Di bawah PTJK, beberapa langkah akan dilaksanakan sekiranya bacaan IPU terus meningkat, antaranya:
Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan diaktifkan jika IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
Semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan apabila IPU melebihi 100.
Sekolah, tadika dan taska akan ditutup jika IPU melebihi 200.
Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dipertimbangkan apabila IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, tertakluk kepada keadaan cuaca.
JAS turut menasihatkan pemilik tanah supaya memantau kawasan yang mudah terbakar seperti hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah, ladang dan kawasan industri serta mengelakkan sebarang pembakaran terbuka.
Orang ramai juga digalakkan memantau bacaan IPU melalui laman sesawang dan aplikasi MyJAS EQMS, selain mendapatkan nasihat kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, individu yang melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 sehingga maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.








