SHAH ALAM, 8 OGOS: Usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu terus diperkasa bagi melahirkan lebih banyak syarikat bertaraf multinasional, kata Dato’ Menteri Besar.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, usahawan tersebut mampu menembusi pasaran antarabangsa sekali gus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Selangor.
Namun jelasnya, hasrat itu hanya mampu direalisasikan menerusi ekosistem pembangunan usahawan menyeluruh merangkumi pembiayaan, pendigitalan, inovasi serta sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri.
"Hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk membawa lebih ramai usahawan Selangor menembusi pasaran antarabangsa dan melahirkan syarikat bertaraf multinasional.
"Kita percaya rangkaian usahawan mikro dan PKS perlu diperkasa. Dengan sokongan kerajaan negeri serta platform yang disediakan, ia bukan sekadar menjadi medium promosi, malah mampu membentuk rangkaian perniagaan yang besar dan kukuh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS), semalam, yang mengumpulkan lebih 1,000 usahawan Platform Selangor (PLATS).
Amirudin berkata, PLATS yang diwujudkan ketika pandemik Covid-19 kini berkembang jauh melepasi fungsi asalnya sebagai platform jualan dalam talian.
Menurutnya, PLATS kini menjadi institusi pembangunan usahawan yang menyediakan bimbingan, jaringan strategik serta mempercepatkan proses peralihan perniagaan ke arah pendigitalan.
"Ketika pandemik Covid-19, kita melihat ruang yang perlu diisi melalui pendigitalan. Dalam tempoh lima hingga enam tahun, perkembangan PLATS amat memberangsangkan.
"Ia bermula sebagai satu rangkaian, kemudian berkembang menjadi platform pendigitalan, pusat bimbingan dan institusi yang membantu usahawan mencapai kejayaan," katanya.
PLATS yang kini melepasi 100,000 usahawan membuktikan kekuatan ekosistem keusahawanan Selangor.
"Sebelum ini hanya sekitar 37,000 usahawan, namun kini rangkaian ini sudah melebihi 100,000 usahawan. Ini bukan angka kecil.
"Jika rangkaian ini digabungkan, ia bukan lagi soal persaingan tetapi menjadi satu kuasa besar yang saling menyokong antara satu sama lain dan memberi impak besar kepada ekonomi negeri," katanya.
MAPS dianjurkan buat kali ketiga, ia hasil kerjasama strategik antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Dianjurkan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau YMBI, beberapa anugerah diberikan bagi meraikan usahawan mikro yang menunjukkan prestasi cemerlang.
Sebanyak 23 pengiktirafan disampaikan merangkumi sembilan kategori anugerah termasuk inovasi, pendigitalan, pembangunan komuniti, kepimpinan wanita dan belia serta penggunaan teknologi dalam perniagaan.
Semalam, Amirudin dalam pembentangan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Dewan Negeri Selangor (DNS), mengumumkan PLATS akan diletakkan sebagai program unggul keusahawanan Selangor dengan memberi tumpuan kepada latihan, kemahiran digital, pengurusan kewangan serta strategi pengembangan perniagaan.
"Bagi menyegarkan lagi ekosistem keusahawanan, PLATS akan diposisikan sebagai program unggul keusahawanan negeri dan menyasarkan 150,000 PKS di seluruh Selangor untuk terlibat menerima bimbingan, latihan, kemahiran digital, kemahiran pengurusan kewangan serta strategi pengembangan perniagaan," katanya.







