SHAH ALAM, 29 DIS: Seramai 30 usahawan terpilih akan diberikan ruang niaga percuma sempena Selangor Havoc Raya Fest 2026 bagi membantu memperluas pasaran serta meningkatkan pendedahan produk tempatan kepada orang ramai.
EXCO Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi berkata inisiatif itu diteruskan susulan kejayaan penganjuran edisi lalu yang membuktikan keberkesanan festival berkenaan sebagai platform pembangunan perniagaan berimpak tinggi.
“Pada penganjuran tahun lalu, 30 usahawan Selangor yang terlibat berjaya merekodkan transaksi keseluruhan melebihi RM500,000 hanya dalam tempoh empat hari.
“Ini menunjukkan potensi besar platform seperti Havoc Raya Fest dalam membantu usahawan negeri meningkatkan jualan dan pendedahan pasaran,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Selangor Havoc Raya Fest 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi edisi 2026, pemilihan usahawan akan dibuat melalui proses saringan rapi berdasarkan potensi perniagaan, prospek produk dan tahap kesediaan pasaran.
Jelasnya, keutamaan diberikan kepada usahawan yang terlibat dalam program pembangunan dan latihan negeri termasuk di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Platform Selangor (PLATS) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Kita akan pastikan usahawan terpilih dari seluruh negeri, bukan hanya tertumpu kepada satu daerah atau kawasan saja. Kita ada sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), jadi kita akan cuba rangkul semua.
“Kita bukan sahaja mahu memperkasa usahawan sedia ada, malah membuka ruang kepada usahawan baharu untuk memulakan perniagaan dan mempromosikan produk mereka. Festival ini menjadi platform penting untuk membina jenama dan jaringan pasaran,” katanya.
Selangor Havoc Raya Fest 2026 dijadual berlangsung selama 96 jam tanpa henti di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, bermula 12 hingga 16 Mac 2026.
Festival anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Negeri Selangor bersama Havoc Event & Management Sdn Bhd itu merupakan penganjuran tahun kedua, selaras dengan usaha berterusan menyokong pembangunan usahawan tempatan serta memperkasa ekonomi komuniti di Selangor.
Mengangkat tema “Havoc-nya Raya di Kampung!”, festival tersebut menggabungkan elemen tradisional dan moden bagi mewujudkan suasana Aidilfitri yang penuh nostalgia, meriah dan mesra keluarga.
Dengan penyertaan lebih 350 vendor, festival ini bakal menawarkan pelbagai reruai jualan, bazar berbuka puasa serta jualan happy hour kepada pengunjung.
Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan termasuk persembahan pentas, penampilan artis dan pempengaruh, aktiviti kanak-kanak, program keagamaan serta cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik, termasuk hadiah utama sebuah kereta.





