PLATS Masuk Bazar catat nilai jualan RM4.5 juta setakat 7 Mac

9 Mac 2026, 2:47 AM
PLATS Masuk Bazar catat nilai jualan RM4.5 juta setakat 7 Mac
PLATS Masuk Bazar catat nilai jualan RM4.5 juta setakat 7 Mac
PLATS Masuk Bazar catat nilai jualan RM4.5 juta setakat 7 Mac

GOMBAK, 9 MAC: Program Platform Selangor (PLATS) Masuk Bazar anjuran Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mencatat nilai jualan kira-kira RM4.5 juta setakat 7 Mac.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata jumlah itu direkodkan melalui 15 bazar Ramadan yang menyertai program berkenaan dengan kerjasama Agrobank serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kami ada 15 bazar keseluruhannya dan kita bekerjasama dengan Agrobank dan kita 'track' data hasil jualan yang dibuat. Jadi pengunjung yang membayar menggunakan kod QR Agrobank kami akan dapat data tersebut.

“Hasilnya di 15 bazar ini setakat semalam (7 Mac), hasil jualannya sudah lebih daripada RM4 juta atau lebih kurang RM4.5 juta,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri MBI bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Masjid At-Taqwa Selayang Baru di sini semalam.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor ditemui media ketika majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri MBI bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Masjid At-Taqwa Selayang Baru, Gombak pada 8 Mac 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu dengan tiga bazar Ramadan mencatatkan nilai jualan tertinggi adalah Stadium Shah Alam, Taman Greenwood dan USJ 4.

“Bazar Stadium Shah Alam sudah cecah RM700,000, di bazar Greenwood RM400,000. Mereka penyumbang terbesar untuk hasil jualan kumulatif bagi kesemua 15 bazar tersebut iaitu lebih kurang RM4.5 juta setakat semalam (7 Mac).

“Ini merupakan satu pertambahan yang cukup drastik berbanding tahun lalu. Mungkin kerana bilangan bazarnya lebih banyak dan juga mungkin kerana rakyat ada kuasa beli yang tinggi atau lebih baik untuk mereka belanja di bazar Ramadan,” katanya.

Dengan perkembangan itu, pihaknya menjangkakan jumlah nilai jualan keseluruhan bagi program itu berpotensi melepasi RM8 juta menjelang akhir Ramadan.

“Kita jangka angkanya akan melepasi RM8 juta. Ini dua kali ganda daripada jumlah tahun lepas,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata program PLATS Masuk Bazar anjuran Yayasan MBI diteruskan sepanjang Ramadan ini dengan peruntukan RM60,000.

Menurutnya, bazar terpilih akan menerima 300 kupon digital bernilai RM10 setiap satu, yang diagihkan kepada pengunjung untuk meringankan kos perbelanjaan mereka.

Suasana Bazar Ramadan Stadium Shah Alam pada 8 Mac 2026 yang sentiasa menjadi tumpuan ramai. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.