Akta 672 di Selangor bermula di PBT bertaraf bandar raya: EXCO

1 Ogos 2026, 10:00 AM
Akta 672 di Selangor bermula di PBT bertaraf bandar raya: EXCO
Akta 672 di Selangor bermula di PBT bertaraf bandar raya: EXCO
Akta 672 di Selangor bermula di PBT bertaraf bandar raya: EXCO

SERDANG, 1 OGOS: Pelaksanaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Selangor secara berfasa dijangka bermula di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertaraf bandar raya terlebih dahulu.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata Selangor kini berada pada fasa akhir perbincangan bersama kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan akta itu selepas Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan pelaksanaannya secara dasar.

"Kita memang usaha, Selangor bersama dengan KPKT dan kerajaan Persekutuan berkaitan dengan Akta 672. Sudah hampir tiga tahun kita berbincang dan sekarang masuk fasa yang terakhir.

"Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan secara dasar dan kita akan bincang mana yang boleh kita dahulukan. Mungkin MBSA, MBSJ dan juga MBDK. Antara tiga bandar raya dulu akan kita mulakan secara berfasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Festival Art of Speed Malaysia Kali Ke-15 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bergambar bersama EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim (dua, kanan) dan penganjur selepas merasmikan Festival Art of Speed Malaysia Kali Ke-15 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang pada 1 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Jelas Suee Lim, pelaksanaan Akta 672 dijangka memperkukuh pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan ekosistem kebersihan di Selangor.

Menurutnya, akta itu juga mampu memperkasa penguatkuasaan terhadap kes pembuangan sampah haram berbanding peruntukan sedia ada di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"Sampah haram juga akan kita kendalikan kerana sebelum ini kita ada kekangan. Kita gunakan Akta Kerajaan Tempatan, Akta 171 dan tiada kuasa yang besar untuk menyaman.

"Saman yang kita keluarkan hanya RM1,000 sahaja untuk sampah haram. Tetapi sekarang apabila Akta 672 dilaksanakan, kita boleh pergi sampai RM100,000 dan penjara lima tahun. Ini boleh lebih berkesan untuk jejak dan tangkap pihak yang terlibat," katanya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Akta 672 akan diperluaskan di Selangor secara berfasa bagi membanteras isu pembuangan sampah haram di negeri itu.

Menurutnya, Jemaah Menteri turut bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyelaras pelaksanaan akta berkenaan bersama Kerajaan Negeri dan 12 PBT.

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada kerangka reformasi pembersihan awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan tahap kebersihan di Selangor setanding piawaian antarabangsa.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.